"Aisyah menangis panggil mak setiap kali disuap makan" - Abang
PASIR GUDANG - Setiap kali disuap makan, adik paling bongsu daripada lima beradik Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, 3, akan menyebut mahukan ibu dan kemudiannya menangis.
Muhammad Ikmal Danish, 15, memberitahu keadaan itu membuatkan mereka sekeluarga tidak dapat menahan sedih memandangkan Aisyah masih kecil dan tidak memahami ibu dan ayah mereka sudah tiada.
"Ketika disuap bubur, Aisyah panggil 'mak'. Selepas saya pujuk dan beritahu mak tiada, Aisyah menangis. Aisyah kerap panggil hendak mak. Saya dan nenek akan pujuk Aisyah.
"Kakak, Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17 yang juga orang Kurang Upaya (OKU) dan adik Nur Shahkira, 14 serta Nur Shahmira,12 juga sering teringatkan mak dan ayah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Taman Cendana di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Muhammad Ikmal memberitahu, dia mahu melanjutkan pengajian dalam aliran teknik dan vokasional ( TVET) kerana minat dalam kursus penghawa dingin.
"Sebagai satu-satunya anak lelaki daripada lima beradik, saya mahu tolong nenek jaga kakak dan adik-adik yang lain," ujarnya.
Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/ Jalan Mesjid di sini, kira-kira jam 4 pagi.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Abdullah; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!