'Jangan ambil kesempatan pada lima cucu mak cik, kasihani mereka'

Laporan Sinar Harian. Ramlah (kanan).
Laporan Sinar Harian. Ramlah (kanan).
A
A
A

PASIR GUDANG - Keluarga kepada suami isteri yang maut dirempuh pemandu kereta dipercayai di bawah pengaruh alkohol pada Sabtu lalu, menafikan pihaknya ada membuka tabung sumbangan buat lima anak kepada pasangan, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35.

Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, 56, berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat individu cuba mengutip derma atas kesusahan dialami keluarga terutama anak-anak arwah.

"Saya dan keluarga tidak pernah tubuhkan apa-apa tabung bagi kutip sebarang dana untuk lima anak-anak arwah.

"Saya mengalu-alukan sumbangan untuk membantu membesarkan lima cucu. Ramai yang membantu agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, pihak sekolah dan syarikat.

"Mereka semua datang terus memberi sumbangan dan ziarah mak cik dirumah, mak cik terima. Jangan ambil kesempatan atas cucu-cucu mak cik, mereka bergelar anak yatim, kasihani mereka," katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Taman Cendana di sini pada Selasa.

Kemalangan pada pagi Sabtu lalu itu, menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya), Muhammad Ikmal Danish, 15, Nur Shahkira Mohd Ridzwan, 14, Nur Shahmira Mohd Ridzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, 3 menjadi yatim piatu.

Dalam pada itu, Ramlah berkatam pihaknya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kereta terbabit sebagai pengajaran dan membela nasib lima cucunya.

Katanya, dia sekeluarga masih lagi trauma dengan kejadian yang menimpa anak dan menantu akibat kesalahan orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya reda dengan ketetapan dan ketentuan ALLAH SWT, tetapi tindakan undang-undang terhadap pelaku mesti dikenakan.

"Terlalu banyak kisah pemandu mabuk hanya didenda yang mana jumlah itu tidak setimpal dengan penderitaan dan kesengsaraan dihadapi keluarga terutama anak-anak yang ditinggalkan tanpa apa-apa seperti cucu-cucu saya.

"Insya-ALLAH peguam akan menguruskan kes kemalangan anak saya," katanya.

Ramlah turut memberitahu sudah dua hari dia tidak boleh melelapkan mata memikirkan masa depan cucu-cucunya.

"Alhamdulillah keadaan saya sihat ketika ini, tetapi suami kurang sihat sebab ada kencing manis dan darah tinggi. Suami kerja pendapatan tidak menentu sebagai pemandu 'forklift' di Pasir Gudang.

"Walau apa pun keadaan mak cik akan jaga amanah ini dengan baik. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu makcik sekeluarga termasuk pihak media," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam menyerahkan sumbangan barangan keperluan RM1,000 termasuk lampin pakai buang dan susu tepung.

Masyarakat yang mahu menyumbang boleh salurkan terus ke akaun Maybank milik Ramlah Kasiran 1512 9482 3866.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!