Kes surat palsu guna nama TPM: Pengawal keselamatan direman 4 hari
KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan penyebaran surat palsu yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dikesan dihantar kepada individu di Sarawak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 32 tahun itu direman empat hari bermula Ahad hingga Rabu.
"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan, kes disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah komersial.
"Kita akan memohon lanjutan reman empat hari lagi setelah tempoh reman terhadap suspek tamat esok," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Razarudin berkata, sekiranya lanjutan reman tidak dapat diperolehi, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan arahan selanjutnya.
"Siasatan bagi mendapatkan keterangan saintifik/forensik bagi telefon bimbit dan komputer juga akan diusahakan segera," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan, suspek tersebut ditahan sepasukan polis pada jam 12.45 tengah hari di Pejabat Daerah Samarahan, Sarawak, pada Sabtu.
Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis dibuat seorang lelaki mendakwa menerima tawaran kerja daripada suspek sebagai pegawai setiausaha pejabat di pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Pengadu bertindak membuat laporan polis kerana rasa tertipu serta takut dokumen yang diberikan kepada suspek disalahgunakan dengan tujuan yang menyalahi undang-undang.
Tujuan suspek bertindak sedemikian kerana dia suka apabila dilayan oleh rakan-rakannya sebagai orang penting.
Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 akta sama.
Terdahulu, laporan polis dibuat seorang kakitangan awam memaklumkan kepada Fadillah menerusi WhatsApp selepas terbaca dua surat berkepala rasmi Jabatan Perdana Menteri di pejabat agensi kerajaan di Kuching, Sarawak, Selasa lalu.
Surat berkenaan memetik nama Fadillah namun tiada tandatangannya dan menawarkan pelbagai jawatan serta kelulusan kuarters kerajaan yang disebarkan individu yang menyamar sebagai pegawai kepada Fadillah.
Berikutan itu, pada Khamis, Fadillah dalam satu kenyataan menafikan pihaknya mengeluarkan surat pelantikan individu sebagai pegawai di pejabatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!