Transformasi LTAT terbantut akibat pemberhentian pelan penstrukturan semula - PAC
KUALA LUMPUR - Keputusan Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) menghentikan pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan di bawah pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terdahulu membantutkan perjalanan transformasi lembaga itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sepatutnya perkara tersebut dilakukan dengan segera, menyeluruh dan tuntas.
“Berdasarkan keterangan Menteri Pertahanan sendiri semasa prosiding, keputusan penangguhan dan arahan untuk merangka semula pelan penstrukturan semula Boustead Holdings dibuat setelah hanya mendapat pandangan daripada pengurusan Boustead Holdings, dan bukan daripada pengurusan LTAT.
“LTAT sebagai pemilik 100 peratus Boustead Holdings perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka dan melaksana pelan yang memenuhi keperluan dan objektif LTAT, bukan sebaliknya.
“Struktur syarikat Boustead Holdings sebagai syarikat pengantara antara LTAT dengan syarikat-syarikat yang menjana keuntungan perlu dirombak semula dengan mengambil kira pelbagai krisis dan skandal yang telah berlaku di bawah pengawasan Boustead,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dapatan itu diperoleh menerusi laporan PAC berhubung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) yang dikeluarkan pada Selasa selepas isu ini dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.
Menurut, Mas Ermieyati, dalam isu ini, pihaknya mengadakan empat prosiding, iaitu masing-masing dua pada 20 Jun 2024 dan 7 Ogos tahun sama dengan memanggil beberapa individu antaranya Ketua Audit Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha (KSU) Mindef, dan Ketua Eksekutif LTAT.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah berkenaan memaklumkan terdapat tiga syor dibuat sebagai langkah penambahbaikan dalam isu berkenaan.
Cadangan pertama katanya, LTAT harus membuat pembayaran dividen berlandaskan kepada keuntungan sebenar dan tidak menggunakan keuntungan bukan tunai seperti yang dilakukan pada tahun 2021 dan 2022.
“Syor kedua pula, LTAT harus meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti sahaja bagi mengurangkan risiko pendedahan supaya dapat memberi dividen yang tinggi dan konsisten kepada pencarum.
“Seterusnya, Mindef dan LTAT perlu membentangkan kepada PAC status terkini perancangan LTAT berhubung pegangan portfolio saham, penstrukturan semula Kumpulan Boustead dan Hala Tuju LTAT sebelum akhir tahun 2024,” katanya.
Beliau menambah, PAC memberikan tempoh selama dua bulan kepada kedua-dua pihak terbabit sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi membolehkan jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan.
“Di dalam prosiding tindakan susulan tersebut, PAC turut meminta supaya lembaga itu membentangkan Pelan Strategik khususnya untuk memastikan daya tahan dan kelangsungan serta kelestarian LTAT,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!