Tiada ahli GISBH sertai program pemulihan secara sukarela
GEORGE TOWN - Tiada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini dilaporkan tampil secara sukarela untuk menyertai program pemulihan khusus yang disediakan di Kompleks Darul Hidayah di Nibong Tebal.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, usaha untuk menjejaki ahli kumpulan ajaran sesat itu sukar berikutan mereka tidak mempunyai nombor ahli.
"Setakat ini, tiada ahli GISBH tampil untuk mengikuti program pemulihan berkaitan agama di Kompleks Darul Hidayah. Di situ, kita sediakan fasilitator termasuk penginapan.
"Oleh itu, saya menasihatkan mereka untuk tampil secara sukarela sertai program pemulihan ini," katanya pada sidang akhbar di Dewan Sri Pinang di sini pada Selasa.
Selain itu, Mohamad berkata, semua perniagaan milik GISBH yang dikenal pasti di negeri ini didapati telah ditutup sepenuhnya.
"Semua perniagaan mereka didapati telah ditutup sepenuhnya. Memang tiada urus niaga lagi dikesan di negeri ini. Premis mereka pun sudah dikosongkan.
"Ahli mereka pun 'hilang'. Mungkin mereka mengubah penampilan, yang itu kita tidak tahu," katanya.
Pada 16 Oktober lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISBH adalah haram, bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Selain Pulau Pinang, lima negeri lain turut mewartakan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.
Susulan itu, beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Johor dan Selangor menawarkan proses pemulihan akidah kepada bekas ahli GISBH.
Dalam perkembangan lain, Mohamad mengumumkan semua guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di negeri ini akan menerima elaun tambahan sebanyak RM500 setiap bulan bermula Januari tahun depan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pemberian elaun tambahan itu melibatkan 160 guru keseluruhannya.
"MAINPP telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.93 juta kepada semua guru tersebut. Bermula Januari tahun depan, mereka akan menerima elaun tambahan sebanyak RM500 sebulan.
"Sebelum ini, mereka menerima RM600 hingga RM1,600 sebulan bergantung pada kelayakan akademik masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!