Rumah pam, tangki sedutan air Pulau Silikon dibina di tapak baharu

Mohamad (kanan) menunjukkan pelan rumah pam, tangki seduran air dan medan selera yang akan dibina di Permatang Damar Laut.
Mohamad (kanan) menunjukkan pelan rumah pam, tangki seduran air dan medan selera yang akan dibina di Permatang Damar Laut.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan membina rumah pam dan tangki sedutan air di tapak baharu di kawasan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut, Batu Maung.

Sebelum ini, rumah pam dan tangki sedutan tersebut dicadangkan dibina di padang awam Permatang Damar Laut namun diubah selepas mengambil kira kebimbangan disuarakan penduduk di situ.

Fungsi rumah pam dan tangki sedutan berkenaan adalah untuk persediaan pembinaan Pulau Silikon.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, rumah pam dan tangki sedutan air tersebut akan dibina di tanah milik kerajaan negeri seluas 6,890 meter persegi yang terletak di belakang sebuah sekolah agama di Batu Maung.

Menurutnya, pembinaan kedua-dua projek pembinaan itu akan bermula pada suku tahun kedua 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2027.

"Penduduk menyuarakan kebimbangan mereka semasa sesi libat urus terbuka yang diadakan pada September lalu.

"Mereka bimbang cadangan pembinaan di atas padang awam yang penting bagi aktiviti masyarakat.

"Walaupun pihak pemaju telah mencadangkan pembinaan kemudahan bernilai RM8 juta termasuk dewan tertutup, gelanggang sukan dan gerai makanan, penduduk tetap berharap kawasan tersebut dikekalkan sebagai ruang hijau untuk kegunaan komuniti," katanya pada sidang akhbar di Dewan Sri Pinang di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan padang awam tersebut sebagai ruang komuniti.

"Selain rumah pam dan tangki sedutan air, kerajaan negeri juga menyediakan tanah dengan keluasan yang sama untuk dinaik taraf menjadi Medan Selera Matang yang baharu. Ia dijangka menjadi destinasi tumpuan dengan reka bentuk moden selaras dengan pembangunan Pulau Silikon.

"Kedai makan yang sedia ada sekarang, akan ditempatkan di situ selain kita akan buka ruang yang ada untuk peniaga lain. Bagaimanapun, hanya medan selera, rumah pam dan tangki sedutan air sahaja akan dibina di situ, tiada dewan tertutup dan gelanggang sukan.

"Medan selera bernilai RM8 juta itu akan mengandungi tiga restoran, tujuh gerai, empat 'food cart' dengan 200 tempat duduk (separuh tertutup dan separuh terbuka)," katanya.

Tambah beliau, pengambilan tanah hanya melibatkan tanah rizab kerajaan tanpa melibatkan tanah milik individu.

"Struktur sedia ada di atas tanah tersebut akan diuruskan dengan prihatin dan pemilik telah dimaklumkan mengenai status tanah tersebut.

"Kerajaan Pulau Pinang memohon semua pihak untuk terus bekerjasama dan saling menghormati demi kebaikan bersama. Setiap keputusan dibuat dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian pembangunan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!