Kilang roti diserbu lepas efluen minyak, gris dalam saluran pembetungan
KUALA SELANGOR - Sebuah kilang roti di sebuah kawasan industri Puncak Alam di sini diserbu pihak berkuasa selepas disyaki melepaskan efluen minyak dan gris berlebihan ke saluran pembetungan.
Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Seruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (SPAN), Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd berhubung kemasukan efluen terlarang itu dan kemudiannya membuat pemeriksaan secara mengejut ke atas kilang berkenaan.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati terdapat juga barang terlarang lain seperti diesel ditemui dalam saluran pembetungan berkenaan.
"Secara amnya, pelepasan secara berlebihan barang dan sebatian terlarang ini menyebabkan saluran pembetungan yang diselenggara IWK tersumbat," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar pada
Mohd Fazil memberitahu, semakan IWK sebelum ini mendapati kilang sama mengeluarkan cecair berwarna putih yang mempunyai kesan minyak.
"Bagaimanapun, hasil siasatan hari ini tidak menunjukkan pelepasan cecair terbabit dan kami telah mengeluarkan notis pembersihan bagi memastikan tiada pelepasan bahan sama selepas ini.
"Kebiasaannya kilang yang menjalankan industri F&B (makanan dan minuman) memang melepaskan banyak minyak dan gris, namun mereka mempunyai SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengeluarkan notis mengikut Seksyen 61(1)(B) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Peraturan 4(6), Peraturan-Peraturan Industri Air (Efluen Terlarang) 2021.
"Sampel air di saluran pembetungan itu akan diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia," tambah beliau.
Mengulas lanjut, katanya, operasi jam 12 tengah hari yang disertai IWK dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (IWK) turut membuat semakan terhadap sebuah kilang simen di lokasi terbabit.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut sama ada ia berpunca daripada kilang itu atau pun dari industri berhampiran.
"Kita akan membuat pemantauan lanjut untuk memastikan tiada lagi pasir di dalam sistem pembetungan utama," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!