Masters China: Aaron-Wooi Yik buka langkah kanan di Shenzhen
[DIKEMAS KINI] BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula langkah kanan di Masters China 2024 apabila mara ke pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Shenzhen pada Selasa.
Pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Shenzhen, pilihan kelima kejohanan yang dalam usaha menghidupkan peluang ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, bulan hadapan, mudah mengetepikan cabaran wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin dengan keputusan straight set 21-12, 21-18.
Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang juga ranking kelima dunia bakal membuat pertemuan menentang beregu senegara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, yang turut mara selepas menewaskan gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-19, 21-15.
Turut mara, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas menewaskan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan dari Taiwan dengan kemenangan 21-23, 21-9, 21-12 dalam masa 58 minit.
Tang Jie-Ee Wei akan menentang pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue atau wakil China, Zhou Zhi Hong-Bao Li Jing dalam pusingan 16 terakhir.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan profesional wanita, Goh Jin Wei yang terus gagal menamatkan badi tersingkir seawal pusingan pertama pada beberapa kejohanan sebelum ini.
Jin Wei yang menghuni ranking ke-40 dunia ditunjukkan jalan keluar pemain ranking ke-23 dunia dari Kanada, Michelle Li dengan 18-21, 16-21.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut menepati ramalan apabila mara pusingan kedua Masters China 2024 selepas menewaskan wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dalam aksi rubber set 21-23, 21-14, 21-13.
Pasangan yang berada di ranking kelapan dunia itu akan bertemu wakil Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin yang mara selepas menewaskan rakan senegara Lee Fang Chih-Lee Fang Jen straight set 21-16, 21-17.
Sementara itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King turut menempah slot ke pusingan kedua Khamis ini apabila menewaskan beregu tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi dalam aksi rubber set 21-17, 18-21, 21-16.
Gandingan Malaysia itu akan bertemu pilihan ketiga dari China, Hei Ji Ting-Ren Xiang Yu selepas wakil tuan rumah itu menewaskan satu lagi wakil negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri straight set 21-12, 21-15. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!