'Anak-anak GISBH di Selangor selamat'
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Taskforce Pemulihan Anak-Anak GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) Negeri Selangor di sini pada Selasa.
Menteri Besar, Datuk Asri Amirudin Shari berkata, penubuhan taskforce adalah untuk merancang pelan pemulihan yang komprehensif dan berkesan terhadap anak-anak yang diselamatkan daripada rumah-rumah amal GISBH.
"Sumbangan hari ini telah diserahkan melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang bertanggungjawab untuk menyelaras wang sumbangan yang diterima untuk anak-anak GISBH.
"Pasukan taskforce ini juga melaksanakan sesi libat urus bagi membangunkan pelan pemulihan komprehensif bersama pakar-pakar bidang dari setiap kluster pada 17 dan 18 Oktober yang lalu," ujarnya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Menteri Besar berkata, pelan pemulihan tersebut merangkumi empat kluster utama, iaitu kebajikan, kesihatan, pendidikan dan perundangan selaras dengan Akta Kanak Kanak 2001 (Akta 611).
Jelasnya, bagi kluster kebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor akan memastikan semua keperluan dan kemudahan anak-anak GISBH ini dipenuhi dengan lengkap dan sempurna.
"Pada masa ini, mereka berada di tempat selamat di bawah pengurusan JKM Selangor.
"JKM Selangor bekerjasama rapat dengan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan pemulihan anak-anak ini boleh diteruskan sewajarnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)," ujarnya.
Dari aspek perundangan, jelasnya, kerajaan negeri sedang melihat daripada pelbagai sudut bagi memastikan kerajaan dapat membantu kanak-kanak ini untuk dipulihkan dalam tempoh munasabah, bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka dari hak kesihatan fizikal, mental, pemahaman akidah Islam yang benar dan tidak keciciran dalam pendidikan formal.
Selain itu, ujarnya, pemulihan komprehensif kesihatan menerusi kluster kesihatan diketuai Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan dianggotai oleh pakar pediatrik, pakar perubatan keluarga, kaunselor, ahli psikologi klinikal, pakar psikiatri daripada sektor awam dan swasta.
"Saringan dan pemeriksaan intensif dilaksanakan bermula pada 4 hingga 8 November 2024 bagi empat kategori iaitu pemeriksaan kesihatan fizikal, penilaian perkembangan fizikal, penilaian kesihatan mental dan pengenalpastian masalah pembelajaran.
"Dapatan daripada pemeriksaan kesihatan fizikal dan perkembangan yang dilakukan, 26.8 peratus kanak-kanak didapati bantut dan 6.8 peratus adalah bantut teruk," ujarnya.
Beliau menambah, selepas dua bulan di pusat jagaan JKM, 38.6 peratus mempunyai pertambahan berat badan dan 22 peratus kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah didapati mempunyai masalah pertuturan.
"Hasil saringan kesihatan mental pula mendapati, seramai 84.8 peratus kanak-kanak yang disaring mengalami masalah kemurungan dengan majoriti (60 peratus) berada di tahap ringan.
"Bagi saringan kebimbangan (anxiety), 96.7 peratus mengalami kebimbangan dengan 55 peratus daripada mereka berada di tahap ringan.
"Selepas keputusan saringan disemak oleh pakar pediatrik atau pakar perubatan keluarga, anak-anak yang perlu mendapat intervensi dan perawatan selanjutnya bagi kategori sederhana akan dirujuk kepada kaunselor atau psikologi klinikal, dan teruk akan dirujuk kepada pakar psikiatri," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pemulihan komprehensif pendidikan pula diketuai Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan dianggotai MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) dimulakan sejak 1 Oktober 2024 terdiri daripada pemulihan akademik serta pemulihan akidah.
"Hasil pentaksiran pendidikan ke atas anak-anak ini mendapati bahawa secara umumnya, anak-anak ini mempunyai penguasaan Bahasa Melayu dan Matematik yang baik, namun mempunyai masalah dalam penguasaan bahasa Inggeris.
"Masalah ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak prasekolah satu hinggalah ke peringkat menengah atas.
"Penguasaan subjek Sejarah dalam kalangan anak-anak peringkat menengah rendah dan atas juga berada pada tahap yang sangat rendah namun mereka menunjukkan minat terhadap subjek ini," ujarnya.
Namun, jelasnya, terdapat lapan orang daripada mereka yang belum dapat menguasai aspek pembelajaran akademik kerana dikategorikan murid berkeperluan khas.
"Manakala, bagi anak-anak yang dikenal pasti sebagai anak-anak istimewa dan di bawah enam tahun, Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) melaksanakan Modul Sentuhan Kasih Sayang," ujarnya.
Sementara bagi modul pemulihan akidah dan pendidikan Islam insani, MAIS dan JAIS menggunakan modul khas yang dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) untuk memantapkan keimanan dan keyakinan terhadap akidah Islam yang sahih dan suci.
Menurut Menteri Besar, MAIS dan JAIS turut menjalankan soal selidik akan permasalahan akidah dalam kalangan 176 orang anak-anak GISBH yang berada dalam lingkungan umur 4-17 tahun.
"MAIS menyediakan dua set soalan berkaitan iktikad dan amalan untuk melihat tahap keparahan akidah anak-anak ini dan hasil soal selidik mendapati majoriti anak-anak GISBH yang disoal selidik tidak mempunyai masalah akidah yang kritikal.
"Hanya dalam 10 peratus mempunyai masalah dalam iktikad yang kritikal manakala 15 peratus mempunyai masalah amalan Islam yang kritikal.
"MAIS dan JAIS akan merancang pendekatan yang lebih interaktif dan sesuai dengan tahap perkembangan anak-anak terutamanya dalam penekanan pemahaman Rukun Islam dan Rukun Iman," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!