Syarikat pengilang beras, pengarah didakwa perihal dagangan palsu

Kok Cheng (berbaju petak) dan Hooi Chung dilihat hadir ke mahkamah
Kok Cheng (berbaju petak) dan Hooi Chung dilihat hadir ke mahkamah
A
A
A

KUALA PILAH - Sebuah syarikat pengilang beras dan dua pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan perihal dagangan palsu pada 13 kampit beras 'Super Import' di sebuah pasar raya di Jempol di sini, tahun lalu.

Syarikat Serba Wangi Sdn Bhd dan Orang Kena Saman(OKS) Lim Hooi Chung, 50, serta Low Kok Cheng, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Normah Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan berasingan.

Mengikut pertuduhan, syarikat yang diwakili Hooi Chung serta kedua-duanya, didapati telah membekalkan beras yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan berkaitan perihal 'Super Import' pada 13 kampit beras Jenama Jati Padi Gold iaitu perihal berkaitan jenis beras.

Kesalahan itu dilakukan pada 10 Oktober 2023, jam lebih kurang jam 1.20 petang di sebuah pasar raya di Bahau, Jempol.

Selain itu, kesemua OKS turut didakwa membekalkan beras yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan berkaitan perihal "kandungan hancur lima peratus" pada 13 kampit beras Jenama Jati Padi Gold iaitu perihal berkaitan kandungan.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan dibaca bersama Seksyen 6(1)(a) dan 6(1)(d) Akta yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(A) akta yang sama.

Bagi kesalahan yang dilakukan oleh syarikat, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

Selain itu bagi kesalahan dilakukan oleh pengarah, sabit kesalahan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup(KPDN) Mohd Sophian Zakaria dan Nor Alimah Mohd Sanusi memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Nor Alimah berkata, kes ini melibatkan barang subsidi iaitu beras yang merupakan makanan ruji dan telah diberikan subsidi oleh kerajaan yang menanggung berbilion ringgit.

"Memandangkan beras satu makanan ruji dan melibatkan masyarakat, maka faktor kepentingan awam perlu diambil kira," katanya.

OKS diwakili peguam, Terence Naidu dan Benjamin Chwee.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan disabitkan terhadap kedua-dua pengarah.

Kedua-dua mereka turut tidak dibenarkan menganggu saksi kes dan sekiranya ingkar, jaminan akan ditarik balik.

Sebutan semula kes 2 Januari depan.

ENDS..

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!