[VIDEO] DUN Sabah: Tiada air, pelajar SMK Tongod terpaksa mandi sungai

A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod berhadapan dengan masalah bekalan air sejak hampir dua minggu lalu sehingga menyebabkan sebahagiannya terpaksa mandi di sungai berhampiran atau belajar di rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, isu air antara perkara yang beliau bangkitkan dalam ucapan perbahasan Belanjawan Sabah 2025 di mana Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menerima peruntukan dalam belanjawan tersebut.

Beliau berharap belanjawan yang diperuntukkan kepada JANS memfokuskan kepada penyelesaian jangka pendek terutama di kawasannya di mana ketika ini SMK Tongod berhadapan masalah air.

"Saya telah mendapat WhatsApp daripada guru bahawa sudah hampir dua minggu tiada bekalan air di SMK Tongod khususnya di asrama.

"Saya dimaklumkan pelajar di Tingkatan Satu hingga Empat terpaksa balik dan belajar di rumah masing-masing.

"Mereka akan dipanggil tinggal di asrama bila bekalan air pulih," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

SMK Tongod berhadapan masalah bekalan air sejak hampir dua minggu lalu. Gambar kecil: Masiung Banah
SMK Tongod berhadapan masalah bekalan air sejak hampir dua minggu lalu. Gambar kecil: Masiung Banah

Tambah beliau, hanya pelajar Tingkatan Lima dan Enam sahaja ketika ini yang dibenarkan tinggal di asrama sekolah dan mereka terpaksa mandi di Sungai Milian.

Artikel Berkaitan:

"Sungai itu dekat dengan sekolah sekitar 100 hingga 200 meter sahaja dan keadaannya tidak sebersih seperti dahulu selain airnya keruh.

"Tetapi pelajar memang mandi dan menggunakan air sungai untuk membersihkan diri termasuk kegunaan di tandas dengan menggunakan saluran daripada pam air.

"Sebab itu dikurangkan jumlah pelajar di asrama untuk menghadkan penggunaan air bersih yang mungkin menggunakan inisiatif air minuman yang dibeli," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak kerajaan kerana ia sering berlaku di kawasannya.

"Kita tidak risau mengenai buaya sebab orang Sungai, antara paling ditakuti buaya adalah orang Sungai. Tetapi Jabatan air perlu memberikan satu penyelesaian yang tuntas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!