Status OKU tidak halang Nazihah genggam ijazah
JOHOR BAHRU - Status orang kurang upaya (OKU) pendengaran tidak menjadi penghalang bagi Nazihah Surati, 25, untuk menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-68, pada Selasa.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Sains Komputer Dengan Kepujian yang mengalami masalah pendengaran sejak berumur enam tahun itu bersyukur dapat membuktikan bahawa golongan sepertinya mampu berjaya meski terpaksa berdepan laluan sukar berbanding individu normal.
"Keluarga pembakar semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan tabah menghadapi apa jua rintangan. Sokongan pensyarah juga amat dihargai kerana banyak membantu saya menyelesaikan kekangan yang dihadapi khususnya komunikasi," katanya pada sidang media selepas majlis konvokesyen itu di sini.
Bekas atlet tenpin boling mewakili Johor pada Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 itu berkata, dia merancang untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi iaitu sarjana namun mahu mengumpul pengalaman kerja terlebih dahulu.
"Saya sudah mendapat tawaran menyambung pengajian sarjana di UTM. Tetapi saya mahu bekerja terlebih dahulu dan akan melihat kesesuaian belajar sambil bekerja. Mungkin akan sambung dalam tempoh setahun lagi," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Nazihah yang kini bekerja sebagai penguji perisian komputer di sebuah bank di Kuala Lumpur berharap kejayaannya dapat dijadikan pencetus semangat kepada semua golongan OKU agar sentiasa berusaha memajukan diri dan tidak sesekali berputus asa walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.
Sementara itu, seorang lagi graduan UTM, Mohd Badrul Zaman Mohamad Yuneh, 38, berkata, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah membuka peluang buat dirinya mencapai kejayaan hari ini.
Bagaimanapun, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, laluan buatnya untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia) tidak mudah kerana dia turut bekerja pada masa sama.
"Saya bekerja sebagai kontraktor dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas, selain turut memandu teksi untuk menambah pendapatan. Saya nekad menyambung pengajian untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran diri dalam bidang pekerjaan yang saya ceburi.
"Mungkin keputusan sekolah kurang cemerlang, tetapi jangan putus asa, banyak laluan lain boleh dibuat termasuk menerusi bidang TVET. Saya akan belajar sehingga mencapai tahap Jurutera Profesional yang membawa gelaran Ir," katanya sambil menggalakkan golongan muda untuk menyertai bidang TVET sebagai pilihan kerjaya masa depan.
Majlis Konvokesyen UTM ke-68 meraikan seramai 7,499 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Diploma Eksekutif termasuk 1,149 graduan antarabangsa dari 56 negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!