DUN Sabah: Padi belum sempat dituai, kelapa sawit belum besar semua 'dilanggar' gajah

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tongod berhadapan dengan masalah ancaman hidupan liar apabila gajah Pygmy Borneo sering 'melanggar' kebun seterusnya merosakkan tanaman mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, isu gajah itu antara perkara yang dibangkitkannya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Sabah 2025 mengenai bantuan yang boleh diberikan kepada pekebun yang menjadi mangsa hidupan liar tersebut.

"Kita mengutarakan dalam persidangan lalu supaya kerajaan khususnya Kementerian Pertanian mengkaji adakah bantuan atau subsidi perlu diberikan kepada pekebun yang menjadi mangsa hidupan liar ini dan jawpan dulu bahawa tiada subsidi.

"Kita sedia maklum pekebun ini mengharapkan padi, kelapa sawit sebagai sumber ekonomi mereka. Tetapi padi belum masak, belum dituai gajahlah dulu yang tuai, kelapa sawit belum cukup besar, belum berbuah, gajah yang tolong menumbak dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Menurutnya, disebabkan itu pekebun telah hilang punca pendapatan kerana itu saja sumber ekonomi di kawasan di bawah DUN Tongod.

"Perkara ini sering berlaku sejak empat tahun kebelakangan ini dan ia berlaku hampir setiap tahun.

"Jadi saya mahu mesti wujudkan satu tanda kepriatinan iaitu subsidi untuk membantu pekebun-pekebun kecil yang berhadpaan dengan bencana yang bukan disebabkan kita sendiri mahu tetapi akibat daripada haiwan liar ini.

"Tidak adil kepada masyarakat kita sebab mereka hanya diajar untuk menghalau, kalau mereka bunuh mereka ditangkap kerana haiwan ini dilindungi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau sekali lagi berharap pihak kerajaan prihatin melihat masalah yang dihadapi pekebun di kawasannya termasuk memberikan subsidi untuk mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!