Ukraine rayu Malaysia hulur bantuan kemanusiaan

Denys Mykhailiuk (kiri) bergambar bersama duta-duta dan wakil kedutaan yang hadir pada Majlis Peringatan 1,000 Hari Sejak Permulaan Pencerobohan Besar-besaran Rusia ke atas Ukraine, pada Selasa. Foto Bernama
Denys Mykhailiuk (kiri) bergambar bersama duta-duta dan wakil kedutaan yang hadir pada Majlis Peringatan 1,000 Hari Sejak Permulaan Pencerobohan Besar-besaran Rusia ke atas Ukraine, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena genap 1,000 hari konflik dengan Rusia, Kuasa Usaha Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk, merayu kepada Malaysia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaannya, terutamanya dengan menyediakan peralatan elektrik berkualiti tinggi, yang dianggap penting untuk kelangsungan hidup dan pemulihan Ukraine.

"Peralatan elektrik buatan Malaysia terkenal dengan kualitinya dan boleh memberi manfaat besar kepada Ukraine semasa dan selepas konflik," katanya kepada Bernama di luar acara Peringatan 1,000 Hari Perang Berskala Penuh di sini pada Selasa.

Peringatan itu yang dihoskan Kedutaan Besar Ukraine di Malaysia, berfungsi sebagai refleksi serius tentang pengorbanan dan kekuatan berkekalan rakyat Ukraine sejak perang bermula.

Duta, diplomat dan wakil NGO adalah antara 50 hadirin yang berkumpul untuk menyatakan solidariti dengan Ukraine, mengenang pengorbanan dan kekuatan yang ditonjolkan oleh negara itu di tengah-tengah konflik yang berpanjangan.

Mykhailiuk menegaskan keberanian dan daya tahan rakyat Ukraine, daripada tentera di barisan hadapan hingga orang awam dan sukarelawan di seluruh negara, yang kesemuanya kekal teguh dalam komitmen bersama mempertahankan kemerdekaan negara mereka.

"Perjuangan ini adalah untuk kelangsungan hidup, hak untuk menentukan nasib sendiri dan masa depan kami sebagai sebuah negara," katanya sambil menekankan semangat rakyatnya yang tidak mudah goyah.

Beliau turut merujuk kepada Pelan Kemenangan yang baru-baru ini diumumkan Presiden Volodymyr Zelenskyy, yang merangkumi langkah-langkah untuk memastikan kemenangan Ukraine, serta usaha negara itu memperkukuh keupayaannya dengan menghasilkan dron, peralatan perang radio, dan senjata canggih untuk mengubah dinamika medan perang.

Mengenang jumlah korban perang yang dahsyat, Mykhailiuk berkata, lebih 100,000 orang telah terbunuh atau cedera, banyak lagi masih hilang, bandar musnah dan kira-kira 6.5 juta rakyat Ukraine berada di luar negara sebagai pelarian.

Artikel Berkaitan:

Utusan Ukraine itu juga melahirkan penghargaan yang mendalam atas sokongan Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk undiannya yang menyokong resolusi mengutuk perang itu.

Beliau juga mengakui kecaman tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pencerobohan Rusia semasa Perhimpunan Agung PBB tahun lepas.

Mykhailiuk turut memuji syarikat swasta dan rakyat Malaysia atas sumbangan besar mereka kepada Ukraine, yang telah melepasi skala bantuan kerajaan.

Dengan Ukraine bakal menjadi tapak pembinaan semula terbesar di Eropah selepas perang, Mykhailiuk berkata ini memberikan peluang besar kepada perniagaan Malaysia untuk terlibat dalam usaha pembinaan semula. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!