Koronavirus: Beri kesan kepada pertumbuhan tahun ini
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Meskipun pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama 2020 dijangka terjejas berikutan penularan koronavirus (Covid-19), ia tidak akan membawa kesan teruk selagi situasinya dibendung dan pelaburan swasta kekal kukuh, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ia bergantung kepada bagaimana virus itu tersebar dan berkembang serta tindakan oleh negara-negara bagi menangani penularannya.
“Jika wabak itu boleh dikawal dalam tempoh terdekat ini, impaknya tidak akan begitu teruk. Tetapi bagaimana sekiranya ia berlarutan?" katanya pada sidang media mengenai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2019 BNM, di sini hari ini.
Nor Shamsiah berkata, BNM telah mengesyorkan beberapa langkah yang akan diperkenalkan dalam pakej rangsangan Covid-29 yang dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada awal Mac.
Di Malaysia, setakat ini seramai 18 orang disahkan dijangkiti Covid-19 yang berasal dari Wuhan China. Daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah warganegara China manakala enam rakyat Malaysia.
Menjelas lanjut Nor Shamsiah berkata, penularan itu dijangka menjejaskan pertumbuhan Malaysia menerusi penurunan kedatangan pelancong asing dan perbelanjaan di hotel, runcit, pengangkutan dan restoran.
Gangguan permintaan dan pengeluaran di China juga akan menjejaskan eksport Malaysia terutamanya eksport komoditi dan barangan pembuatan.
"Pakej rangsangan itu akan membantu kumpulan yang terjejas dan dapat menjaminkan lagi pertumbuhan kita. Tetapi anda perlu mengimbangi rangsangan pertumbuhan... semua ini akan diambil kira dalam pakej rangsangan,” katanya.
Buat masa ini, pertumbuhan KDNK Malaysia akan terus disokong oleh perbelanjaan dan pelaburan swasta yang kukuh selain peningkatan sederhana aktiviti perdagangan global.
“Mengenai perbelanjaan sektor swasta yang berterusan, ia akan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menyokong dan peningkatan perlahan-lahan aktiviti pelaburan,” katanya.
“Penyambungan semula projek prasarana mega iaitu Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) 2, projek Lebuh Raya Pan Borneo dan Transit Aliran Ringan (LRT) 3, Projek Landasan Berkembar Gemas- Johor Bahru dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), juga dijangka menyumbang kira-kira satu peratus kepada pertumbuhan,” katanya.
Nor Shamsiah berkata, pemulihan pengeluaran komoditi dan pengoperasian kemudahan baharu dalam sektor perlombongan dan pembuatan juga menyokong pertumbuhan.
Bagaimanapun, katanya, penularan Covid-19 dan peningkatan semula pertikaian perdagangan akan terus memberi kesan kepada pertumbuhan global dan aktiviti perdagangan.
“Gangguan bekalan domestik dalam sektor komoditi juga kekal sebagai risiko bagi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Semasa wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, Malaysia merekodkan pertumbuhan KDNK 5.9 peratus manakala semasa epidemik Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) pada 2015, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.1 peratus.
Mengenai kemungkinan pelarasan sasaran pertumbuhan tahun penuh KDNK 2020 yang mana sebelum ini kerajaan menetapkan pada 4.8 peratus, sasaran defisit fiskal pada 3.2 peratus daripada KDNK serta potensi penurunan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi tahun ini, Nor Shamsiah berkata, butiran terperinci akan didedahkan dalam laporan tahunan 2019 BNM yang dijadual dilancarkan pada 25 Mac 2020.
Kerajaan mengunjurkan ekonomi berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!