Polis rampas ganja 36,402 gram dalam 3 serbuan di Semenyih

Naazron (tengah) menunjukkan rampasan ganja dibuat di sekitar Semenyih, Selangor pada Jumaat yang dianggarkan bernilai setengah juta.
Naazron (tengah) menunjukkan rampasan ganja dibuat di sekitar Semenyih, Selangor pada Jumaat yang dianggarkan bernilai setengah juta.
A
A
A

KAJANG - Polis melakukan tiga serbuan di sekitar Semenyih, dekat sini bagi melumpuhkan satu sindiket penjualan dadah jenis ganja bagi pasaran tempatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, semua serbuan itu dilaksanakan pada Jumaat di tiga lokasi berbeza.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan jam 11.30 pagi dengan menahan satu pasangan suami isteri yang berusia 29 dan 36 tahun di sebuah rumah.

Kata beliau, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah jenis ganja seberat 2,100 gram daripada suspek yang bekerja sebagai penternak udang galah.

"Semakan rekod lampau ke atas kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan dan saringan awal air kencing suspek pertama didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (Thc) manakala suspek kedua negatif.

"Tindakan juga diambilndi bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila polis menyita sebuah kereta jenis Perodua MyVi bernilai RM25,000," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Susulan tangkapan pertama, Naazron berkata, pihaknya melakukan serbuan kedua di kawasan tempat letak kereta sekitar Semenyih jam 2.45 petang dan merampas dadah jenis ganja seberat 5,274 gram.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan telah ditahan dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan, tetapi ujian awal air kencing mendapati positif dadah jenis (Thc).

Artikel Berkaitan:

Naazron (tiga dari kiri) melihat alat menghisap dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Semenyih, Selangor pada Jumaat yang dianggarkan bernilai setengah juta.
Naazron (tiga dari kiri) melihat alat menghisap dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Semenyih, Selangor pada Jumaat yang dianggarkan bernilai setengah juta.

Mengulas lanjut, katanya, serbuan ketiga dilakukan jam 3.30 petang di sebuah rumah di Semenyih dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja mampat dengan anggaran berat 28,908 gram, bunga ganja (7,589 gram), balutan rokok berisi campuran ganja (120 gram) serta rokok elektronik berisi cecair campuran ganja (2,953 gram).

Menurut beliau, suspek kes ketiga tidak bekerja, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

Katanya, suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau dan ujian awal air kencing mendapati positif dadah jenis (Thc).

Jelasnya lagi, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan itu dianggarkan berjumlah RM499,974 dan nilai sitaan berjumlah RM25,205.

"Suspek pertama dan kedua bagi kes pertama ditahan reman selama empat hari dan dituduh hari ini (Selasa), manakala suspek kes kedua dan ketiga ditahan reman selama enam hari.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki ahli kumpulan sindiket ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!