Paras air empangan MADA meningkat, cukup untuk pengairan padi

Paras Empangan Pedu mencatatkan 681 juta meter padu atau 63.10 peratus setakat ini. Foto MADA
Paras Empangan Pedu mencatatkan 681 juta meter padu atau 63.10 peratus setakat ini. Foto MADA
A
A
A

ALOR SETAR - Paras takungan air di tiga empangan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus meningkat dan mencukupi untuk pengairan tanaman padi pada musim kedua tahun ini.

MADA dalam satu kenyataan berkata, sehingga Isnin, paras Empangan Pedu mencatatkan 681 juta meter padu (63.10 peratus), Empangan Muda mencatatkan 158 juta meter padu (102.80 peratus), dan Empangan Ahning pula 256 juta meter padu (93.08 peratus).

Menurutnya, sumber air utama untuk pengairan padi musim kedua 2024 daripada turunan hujan dan pelepasan empangan adalah mencukupi mengikut fasa-fasa pengairan dalam jadual penanaman padi di kawasan MADA.

"Sehingga 13 November 2024, kemajuan aktiviti penanaman padi di kawasan Muda bagi musim pertama 2024 mencatatkan tuaian sebanyak 97.8 peratus, penyediaan tanah untuk musim kedua 2024 mencapai 90.4 peratus dan aktiviti penanaman pula berada pada 53.8 peratus," menurutnya pada Selasa.

Jelas MADA, pihaknya akan berusaha bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan sektor pertanian di kawasan Muda meskipun menghadapi cabaran cuaca ekstrem.

Menurutnya, purata turunan hujan di kawasan Muda sehingga 31 Oktober lalu ialah 1,925 milimeter, 10 peratus lebih tinggi berbanding purata 20 tahun sebanyak 1,755 milimeter, yang membantu menampung keperluan pengairan.

"Walaupun banjir berlaku pada September lalu, aktiviti penanaman padi masih dapat dijalankan seperti biasa. Namun, menjelang fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) dari Januari hingga Mac 2025, kawasan utara semenanjung dijangka mengalami kekurangan hujan, menyebabkan cuaca panas dan kering.

"MADA akan menyalurkan bekalan air sokongan dari empangan untuk memastikan pengagihan air mengikut fasa yang ditetapkan, serta memastikan penanaman padi musim kedua 2024 berjalan lancar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, MADA juga sentiasa memantau bekalan benih padi sah bagi memastikan peladang dapat melaksanakan aktiviti penanaman padi musim kedua 2024.

Menurutnya, anggaran keperluan benih padi sah di kawasan Muda adalah 16,000 metrik tan semusim dan varieti MR 297 menjadi pilihan utama peladang.

"MADA juga giat menjalankan kempen penggunaan benih padi sah di lapangan untuk memastikan peladang memilih benih padi berkualiti serta mengesyorkan amalan rawatan benih padi bagi kawasan yang sering diserang penyakit," tambah kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!