GISBH: Terengganu belum fatwakan sesat, ikut keputusan Pusat
KUALA TERENGGANU - Walaupun belum memfatwakan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dari syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai ajaran sesat, Terengganu akan mengikut keputusan peringkat Pusat berhubung isu membabitkan organisasi itu.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah itu diambil memandangkan isu berkaitan GISBH melibatkan isu nasional dan tidak hanya berada dalam ruang lingkup di peringkat negeri.
Menurutnya, setakat ini perkara melibatkan GISBH masih di peringkat penelitian memandangkan kegiatan kumpulan itu di negeri tersebut tidak begitu serius berbanding yang berlaku di negeri-negeri lain.
"Isu GISBH merupakan isu nasional bukan isu negeri dan kita ikut apa yang telah diputuskan di peringkat nasional.
"Dalam konteks ini, (organisasi itu) ada isu jenayah dan isu yang berkaitan dengan hal ehwal agama. Jadi yang berkaitan dengan jenayah ini kita serah kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) lah untuk siasat.
"Kita akan tengok dari semasa ke semasa apa perkembangannya. Namun begitu, prinsip umumnya ialah kita tidak boleh 'menghukum' sebelum diputuskan oleh pihak mahkamah.
"Jadi selagi mana belum diputuskan oleh pihak mahkamah kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun, Muhammad Khalil berkata, perkara melibatkan hal ehwal agama Islam tertakluk di bawah bidang kuasa negeri.
"Dalam konteks negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sentiasa memantau dan mendapati ianya adalah terkawal.
"Pewartaan ajaran sesat itu melibatkan aspek teknikal sahaja, sebenarnya ia sudah terdapat dalam enakmen jenayah syariah negeri Terengganu yang berkait dengan ajaran sesat dan seumpamanya," ujar beliau.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri bersedia membantu memberikan khidmat kaunseling kepada ahli GISBH bagi memulihkan akidah dan memberikan bimbingan agama kepada golongan berkenaan.
"Buat masa ini, kita memantau, jadi tidak ada lagi kita sampai tahap ada kita ambil anak-anak mereka untuk diberi kaunseling dan seumpamanya.
"Itu belum berlaku lagi namun kita bersedia untuk bantu," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!