MIHAS@Dubai 2024 catat jualan eksport RM500 juta pada hari pertama

Ahmad Zahid (tengah) bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar pada Selasa.
Ahmad Zahid (tengah) bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

DUBAI - [DIKEMAS KINI] Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 berjaya menterjemahkan pencapaian penting bagi industri halal Malaysia selepas mencatat kejayaan luar biasa melalui nilai jualan eksport bernilai RM500 juta pada hari pertama, dengan sasaran RM1.2 bilion sebagai nilai keseluruhan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pameran bersejarah yang pertama kali diadakan di luar Malaysia ini menunjukkan kesungguhan negara untuk mengantarabangsakan industri halal dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam ekonomi halal.

“Saya percaya kejayaan MIHAS@Dubai 2024 adalah bukti nyata komitmen teguh Malaysia untuk mewujudkan ekosistem halal global yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan.

“Expo ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan perdagangan antarabangsa tetapi juga membina asas kukuh

bagi kerjasama strategik jangka panjang yang mampu mendukung pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

MIHAS@Dubai 2024 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berlangsung serentak selama tiga hari bermula 18 hingga 20 November 2024 bersama-sama Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah (MENOPE) yang dinaungi oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.

MIHAS@Dubai 2024 membuka peluang meningkatkan ekosistem halal Malaysia dengan menyediakan platform untuk 215 syarikat Malaysia menonjolkan kecemerlangan dan kepelbagaian produk serta perkhidmatan halal buat semua pemain industri yang terlibat.

Expo ini membuka lembaran baharu bagi perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) yang kini mencecah lebih 490 juta pengguna, seterusnya memupuk kerjasama yang bermakna dan mendorong pertumbuhan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Zahid, expo ini turut mencerminkan kepentingan Diplomasi Halal yang terus memposisikan Malaysia sebagai rakan dagang yang bermakna dalam pasaran halal antarabangsa.

Katanya lagi, selain aspek perdagangan, MIHAS@Dubai telah mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai penyedia produk halal berkualiti tinggi, sekaligus menjadi pemangkin bagi kerjasama masa depan dan pembangunan ekonomi yang lebih besar.

Ujarnya, hubungan perdagangan Malaysia dengan negara-negara Gulf Cooperation Council (GCC) kekal kukuh mencerminkan kerjasama ekonomi yang semakin berkembang antara kedua-dua rantau.

“Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2024 sahaja, jumlah perdagangan Malaysia dengan negara GCC berkembang sebanyak 1.8 peratus kepada RM87.30 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

“Eksport meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM21.77 bilion, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk petroleum, logam, barang kemas, sementara import meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada RM65.53 bilion,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, di antara negara-negara GCC, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memainkan peranan penting dengan menyumbang 42.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia dengan GCC.

Dari Januari hingga Oktober 2024, perdagangan dengan UAE meningkat dengan ketara sebanyak 12.8 peratus kepada RM36.73 bilion.

UAE juga kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia di GCC, menyumbang 55.3 peratus atau RM12.03 bilion kepada jumlah eksport, didorong oleh permintaan tinggi terhadap barang kemas, produk petroleum, makanan diproses, serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak.

Import Malaysia dari UAE juga mencatatkan pertumbuhan kukuh, meningkat sebanyak 17.5 peratus kepada RM24.70 bilion, dengan import utama termasuk logam, barang kemas dan bahan kimia.

Pencapaian ini kata Ahmad Zahid lagi, membuktikan peranan penting UAE sebagai rakan dagang strategik bagi Malaysia dan menyerlahkan kepentingan penganjuran MIHAS@Dubai 2024 sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan memupuk pertumbuhan bersama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!