Gabungan media cetak, digital strategi kekal relevan
KUALA LUMPUR - Penerimaan teknologi dengan menggabungkan media cetak dan digital merupakan salah satu strategi untuk mengekalkan perniagaan agar kekal relevan dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, ia adalah langkah proaktif yang diambil syarikat media itu berikutan perkembangan pesat melibatkan kecerdasan buatan (AI) supaya golongan pekerja tidak ketinggalan dalam perubahan tersebut.
"Syarikat kini sudah bertahan hampir lima dekad, bagaimana kami bertahan sebenarnya bergantung dengan cara kami menerima teknologi dan menggabungkan kedua-duanya.
"Pada dasarnya, kami adalah media tradisional di mana kami menghasilkan buku serta berita yang dinamakan Sinar Harian dan sebelum ini kami bekerja dengan cara fizikal, maksudnya kami menulis dan hasilkan akhbar fizikal.
"Sejak perubahan digital, kami juga mengubah cara bekerja dan tidak lagi menggunakan fizikal semata-mata tetapi sekarang semuanya digitalisasi iaitu akhbar dalam talian dan banyak menggunakan AI agar kekal relevan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam persidangan 4th Asia Pacific Family Business Summit 2024 di The Gardens Hotel di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengasas dan Presiden BinaPavo @ kCommerce (M) Sdn. Bhd (BinaPavo), Dr Mohar Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif BinaPavo, Dr Leilanie Mohd Nor dan tetamu kehormat lain.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, pemimpin perlu memahami dan mempelajari terlebih dahulu mengenai teknologi sebelum menghantar pekerja untuk menjalani latihan bagi perkembangan kemahiran dalam bidang itu.
"Sebelum kamu menghantar pekerja untuk latihan, saya rasa kamu perlu pergi dulu kerana sebagai pemimpin mesti memahami teknologi terlebih dahulu. Kenapa ia berguna? Apa proses, keputusan dan hasilnya?
"Kami percaya semua pekerja mesti dilengkapi dengan pengetahuan digital ini. Maka, kami menghantar semua 500 pekerja untuk kursus AI bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran ini walau dalam jabatan mana sekali pun," ujarnya.
Sementara itu, Farah berkata, pemilik perniagaan keluarga perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental untuk bertahan lama dalam syarikat.
"Ini kerana kita akan terima banyak penolakan. Cuba bayangkan, siapa saya untuk beritahu semua orang yang sudah lama bekerja dalam syarikat untuk melakukan perubahan sedangkan kita masih baru, tetapi akhirnya kepercayaan akan terbina juga jika kita kuat fizikal dan mental.
"Selain itu, kita juga perlu membina hubungan yang baik bersama dengan pekerja, jika tidak, kita tidak akan boleh bertahan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!