Polis siasat anggota didakwa ugut warga Arab Saudi
REMBAU - Polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap anggotanya yang didakwa memeras ugut seorang lelaki warga Arab Saudi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, laporan polis mengenai kejadian itu diterimanya pada Isnin.
"Kejadian berlaku semasa pengadu memandu kenderaannya di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Utara dalam daerah Rembau sebelum ditahan oleh polis berkenaan.
"Lelaki berkenaan mendakwa telah diperas ugut oleh beberapa anggota polis dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu dalam pasukannya yang didapati melakukan kesalahan undang-undang yang boleh mencalarkan imej PDRM.
" Orang ramai juga dinasihati tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak pasti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!