Biaya pengajian pelajar, bantu atasi kekurangan doktor di Sabah - Dr Yusof

Dr Yusof (kanan) ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
Dr Yusof (kanan) ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Datuk Dr Yusof Yacob (Gagasan Rakyat-Sindumin) mencadangkan kerajaan negeri supaya membiayai pengajian anak Sabah yang berminat menjadi doktor bagi membantu mengatasi isu kekurangan doktor di negeri ini.

Beliau berkata, anak-anak Sabah yang berjaya menamatkan pengajian kemudian boleh diserap bagi mengisi kekosongan pegawai perubatan untuk berkhidmat di negeri ini.

"Kita ambil anak-anak kita yang pintar yang ada sekarang ini supaya mereka yang berminat menjadi doktor kita latih, kita beri mereka biasiswa untuk mengisi kekosongan ini dan juga pegawai-pegawai perubatan yang ingin mengambil ataupun kita tawarkan untuk menjadi doktor pakar.

"Kita bagi biasiswa supaya kita cukupkan doktor di Sabah," katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Menurutnya, jawatan doktor pakar di Sabah ketika ini ada sebanyak 620 tetapi yang diisi cuma 554 orang dan kekosongan 66 orang.

"Jawatan Pegawai Perubatan di Sabah ada sebanyak 2,375 perjawatan dan yang diisi cuma 1,951 perjawatan, jadi kita ada kekosongan 355 perjawatan.

"Kalau ikut sekarang di Sabah dengan jawatan doktor yang diisi ialah 2,995 untuk merawat 3.5 juta orang. jadi ertinya sekarang satu orang doktor untuk 1,100, tapi sekarang yang diisi 554 doktor pakar, 1,951 untuk pegawai perubatan.

"Kalau sekarang ini jumlah itu, satu doktor jaga 1,400 orang dan untuk mencapai nisbah satu doktor untuk 500 orang kita perlu 7,000 doktor di Sabah mengikut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Dr Yusof berkata, universiti tempatan dan luar negara ketika ini ada menyediakan program kedoktoran untuk pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.

"Di universiti-universiti kita ada program (perubatan) seperti di UMS (Universiti Malaysia Sabah), di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan juga universiti luar negara.

"Jadi kita berharap program ini mesti diatur (inisiatif) daripada kerajaan negeri menerusi bahagian biasiswa dengan Kementerian Kesihatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!