Pasangan kekasih didakwa curi kad ATM

Farhana (tiga dari kiri) dan Sabari Ashrat (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Farhana (tiga dari kiri) dan Sabari Ashrat (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat capaian tanpa kuasa iaitu mengeluarkan wang dari akaun seorang warga emas berjumlah RM89,345 sejak Disember tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Farhana Abdul Mubin, 35, dan Sabari Ashrat Mokhtar, 22, dituduh di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Bagi pertuduhan pertama, Farhana yang bekerja sebagai orang gaji didakwa secara bersama dengan Sabari Ashrat mengeluarkan wang berjumlah RM39,317 dari akaun majikannya Seripah Esah Syed Bakar, 69, di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di 7 Eleven Taman Impian kira-kira jam 1.26 tengah hari antara 27 Disember dan 1 Januari tahun ini.

Kedua-dua mereka turut didakwa di atas satu lagi pertuduhan iaitu melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah RM50,028 di sebuah mesin ATM Petronas Jalan Sungai Lembing antara jam 11.30 hingga 12.21 pagi, sekitar 18 Januari dan 22 Januari lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mengikut Seksyen 4 (1)(A) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (3) Akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda maksimum RM150,00 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu di mahkamah sama, Farhana turut berdepan dua pertuduhan mencuri kad ATM majikannya itu di sebuah rumah di Kampung Padang Baru pada dua masa berbeza iaitu antara 27 Disember 2019 dan 18 Januari 2020.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Farhana dibenarkan ikat jamin RM34,000 untuk keempat-empat pertuduhan, manakala Sabari Ashrat dibenarkan ikat jamin RM24,000 untuk kedua-dua pertuduhan bersama.

Mahkamah bersambung 12 Mac depan untuk sebutan semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!