G20 gugurkan ikrar antiperlindungan susulan kemenangan Trump

Xi Jinping menghadiri sidang kemuncak G20 pada Isnin. Foto AFP
Xi Jinping menghadiri sidang kemuncak G20 pada Isnin. Foto AFP
A
A
A

RIO DE JANEIRO - Kumpulan 20 (G20) pada Isnin menggugurkan ikrar antiperlindungan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat pertama mereka sejak Donald Trump dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), tatkala pemimpin global bersiap sedia menghadapi ancaman beliau untuk mengenakan tarif import yang lebih tinggi.

Walaupun kumpulan pelbagai ini mungkin sekali lagi menghadapi kritikan daripada Trump di tengah-tengah keraguan yang semakin meningkat mengenai keberkesanannya sebagai forum penyelarasan dasar, para pemimpin G20 berkata cabaran yang dihadapi ekonomi global hanya dapat diselesaikan melalui penyelesaian pelbagai hala, lapor agensi berita Kyodo.

Kenyataan bersama yang jarang berlaku itu, dikeluarkan pada hari pertama sidang kemuncak dua hari di Rio de Janeiro, menyuarakan "kebimbangan mendalam" mengenai risiko geopolitik di Asia Barat, termasuk penderitaan manusia dan kesan negatif lain akibat peperangan dan konflik, termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Walaupun Trump belum lagi mengangkat sumpah jawatan, suasana berhati-hati jelas terlihat di Sidang Kemuncak G20. Kembalinya Trump membangkitkan semula kenangan mengenai keputusannya yang mengejut untuk menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian perdagangan bebas, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Perjanjian Paris bagi memerangi pemanasan global.

Dengan ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia dijangka meningkat di bawah Trump, Presiden China Xi Jinping yang menghadiri sidang kemuncak itu menyuarakan penentangannya terhadap "perlindungan dan unilateralisme."

Merujuk kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kenyataan G20 menyebut: "Kami menegaskan keperluan untuk memastikan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan, tidak pilih kasih, adil, terbuka, terangkum, saksama, mampan, dan telus, dengan WTO sebagai terasnya."

Sidang Kemuncak G20 ini adalah yang terakhir bagi Presiden AS Joe Biden, yang akan berundur pada Januari, dan yang pertama bagi Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba sejak memegang jawatan pada awal Oktober.

Di tengah bayangan penggal kedua Trump, Pengerusi G20 Brazil cuba mengalihkan perhatian kepada keperluan mengurangkan kemiskinan dan kelaparan, mempertingkatkan tadbir urus global, serta mempromosikan pembangunan mampan.

Artikel Berkaitan:

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang mempengerusikan sidang kemuncak itu, menyifatkan keadaan dunia sebagai "lebih buruk" daripada krisis kewangan global 2008 ketika beliau menyeru tindakan G20.

Lula menyebut pelbagai punca, seperti jumlah konflik bersenjata tertinggi sejak Perang Dunia Kedua, isu perpindahan paksa, kesan bencana iklim yang melampau di "seluruh penjuru dunia," serta ketidaksamaan kaum dan jantina yang semakin mendalam.

Sementara itu, para pemimpin G20 berkata mereka "bersatu" dalam usaha mencapai matlamat perjanjian iklim Paris, ketika negara-negara berusaha mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5 darjah Celsius di atas tahap praindustri.

Selain negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) -- Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Amerika Syarikat, serta Kesatuan Eropah -- G20 turut merangkumi Argentina, Australia, Brazil, China, India, Indonesia, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, dan Turkiye. - Bernama-Kyodo News

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!