Bekas doktor didenda simpan gambar lucah teman lelaki bersama bekas kekasih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang bekas doktor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyimpan gambar lucah teman lelakinya bersama bekas kekasih minggu lalu.

Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap D Janusiya Devi, 38 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dua keping gambar lucah teman lelakinya berusia 39 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun di dalam telefon bimbitnya.

Kesalahan itu dilakukan pada 16 November 2024, jam lebih kurang 10 pagi di pejabat Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Justeru tertuduh telah melakukan kesalahan di Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam memohon hukuman minimum kerana sudah bercerai dan menanggung seorang anak serta ibu yang baharu menjalani pembedahan.

Sementara itu, seorang kerani kuil mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas kesalahan di bawah seksyen sama iaitu memiliki rakaman video lucah bersama bekas teman wanita minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, tertuduh G Sivarajan, 39, didapati memiliki satu rakaman video lucah bersama seorang wanita berusia 40 tahun dalam telefon bimbitnya.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 November 2024 jam lebih kurang 2 petang di pejabat Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Peguam dari Tetuan Sarinah Mustafa merayu tertuduh diberikan jaminan atas alasan dia bekerja sebagai akauntan di sebuah kuil di Rasah dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Katanya, tertuduh juga seorang duda dan tinggal bersama ayahnya yang sakit tua di Seremban.

"Mohon jaminan dibenarkan kerana tertuduh tinggal di Seremban dan mangsa tinggal Bahau, Jempol. Jadi tiada risiko tertuduh mengganggu pengadu dalam kes ini," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dan sebutan semula kes 20 Disember depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!