NGO buat laporan polis berhubung video didakwa fitnah Perdana Menteri
KUALA LUMPUR - Sebuah gabungan 20 badan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) membuat laporan polis berhubung satu video tular didakwa memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan temu ramah Perdana Menteri dengan CNN.
Jurucakap gabungan itu, Shahbudin Embun berkata, video yang dimuat naik oleh seorang individu menggunakan akaun "Papa Berry Studio" di platform YouTube itu bertujuan menghasut orang ramai untuk menimbulkan kemarahan rakyat terutamanya orang Islam di Malaysia.
"Ini adalah fitnah, perbuatan jahat dan satu penghinaan terhadap beliau (Anwar) kerana kita tahu dari zaman mudanya lagi, beliau telah memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kami, NGO tidak akan berkompromi dengan perkara ini.
"Saya berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini di bawah Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Selasa bersama wakil daripada 20 NGO berkenaan.
Antara ahli gabungan NGO itu yang turut hadir membuat laporan polis ialah Waris Pekembar Malaysia, Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).
Shahbudin berkata, perbuatan individu itu memuat naik video memfitnah Perdana Menteri susulan termu ramah Anwar bersama Richard Quest daripada CNN ialah perbuatan tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asiten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes terbabit akan dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Baru-baru ini, satu video yang memaparkan seorang individu mendakwa kononnya Anwar mengiktiraf kewujudan negara Israel.
Bagaimanapun, Anwar ketika menjelaskan mengenai isu itu berkata beliau tidak mengiktiraf negara Israel, dan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!