Bersih beri markah D kepada Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Menurut beliau, pihaknya ingin menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.
“Dalam 70 peratus skala pemarkahan akauntabiliti manifesto merangkumi Reformasi Pilihan Raya, status dua daripada tujuh masih dalam progres, manakala selebihnya tidak dilaksanakan.
“Bahagian Reformasi Institusi, lima dari 18 berjaya dilaksanakan, tujuh dalam proses dan lain-lain tidak dipenuhi. Hak Kebebasan Sivil pula tiga sudah dibuat, dua dalam proses serta tiga tidak terlaksana.
“Berkenaan penanda aras perbandingan dengan beberapa perdana menteri sebelumnya pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya capai skor 18 dari 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika forum ‘Adakah Kita Mencapai Perubahan’ sekali gus merasmikan Laporan Penilaian Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Sambutan Lapan Tahun Selepas Bersih 5 di sini, pada Selasa.
Hadir sama, bekas Pengerusi Bersih 2013-2018, Maria Chin dan mantan Pengerusi Bersih sesi 2018-2023, Thomas Fann.
Muhammad Faisal berpandangan, kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan kesemua reformasi memandangkan sudah melepasi pertengahan penggal lima tahun, malah tiada perubahan besar dibuat.
Tambah beliau, pentadbiran terdahulu berjaya membuktikan bahawa reformasi utama boleh diselesaikan dalam tempoh dua tahun sahaja.
“Justeru, Bersih ingin mengemukakan 12 cadangan kepada kerajaan menjelang pilihan raya umum ke-16 (PRU16) antaranya perkenalkan 10 tahun had masa buat perdana menteri, Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA), Akta Pendanaan Politik, pisahkan bidang kuasa peguam negara dengan pendakwa raya dan lain-lain.
“Sekarang masa untuk memperkasa demokrasi dan melaksanakan reformasi institusi pilihan raya yang teguh sambil melindungi hak kebebasan sivil.
“Demi mencapai matlamat ini, kami akan terus bekerjasama dan terlibat secara konstruktif dalam memberikan tekanan kepada kerajaan, pembangkang, Parlimen serta pihak berkepentingan untuk menyokong agenda reformasi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!