Tembok sempadan mampu kekang jenayah
ISU di sempadan Malaysia-Thailand sering menjadi tumpuan apabila melibatkan kes jenayah termasuklah penyeludupan barang subsidi dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sinar Harian misalnya secara eksklusif pada Februari lalu telah mendedahkan sempadan negara yang mudah diceroboh terutama di sepanjang Sungai Golok.
Dengan hanya menaiki bot kira-kira lima minit sudah boleh masuk ke negara jiran tanpa sebarang dokumen, begitu juga warga asing untuk masuk ke dalam Malaysia.
Oleh itu, pembinaan tembok keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand menjadi salah satu langkah penting dalam membanteras jenayah terutamanya penyeludupan.
Sebelum ini juga kerajaan Kelantan memaklumkan memerlukan kira-kira RM445.748 juta bagi kos pengambilalihan tanah di kawasan yang terlibat dalam cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang Sungai Golok.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyatakan pembinaan tembok sempadan di Kelantan-Thailand perlu dibincang dan dimuktamadkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Apa yang dapat dilihat di sini, isu sempadan merupakan isu besar yang harus ditangani dengan sebaiknya.
Ini kerana kegiatan-kegiatan haram akan mengambil kesempatan di atas kelompangan dan kelemahan bagi mengaut keuntungan wang dengan melakukan pelbagai jenayah.
Sudah tentu anggota penguat kuasa berdepan cabaran untuk memantau sempadan sepanjang Sungai Golok.
Kerajaan Thailand pula menyambut baik cadangan kerajaan Kelantan untuk membina tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang.
Gabenor Narathiwat, Trakul Thotham, berkata pembinaan tembok tersebut akan membantu menangani isu jenayah rentas sempadan dan mengawal masalah banjir akibat limpahan Sungai Golok.
Dalam pada itu, masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah dan diingatkan untuk tidak bersekongkol dengan penjenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!