Beri pengajaran keras kepada pemandu mabuk

Sudah berapa banyak nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa pemandu mabuk. Gambar hiasan
Sudah berapa banyak nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa pemandu mabuk. Gambar hiasan
A
A
A

KATALAH apa sahaja, memandu di bawah pengaruh alkohol, memandu dengan kandungan alkohol melebihi paras yang dibenarkan atau sebagainya, ia tetap merujuk kepada maksud yang sama iaitu individu yang memandu dalam keadaan mabuk.

Justeru, berdasarkan kepada insiden-insiden melibatkan pemandu mabuk ini, sememangnya hukuman melibatkan kesalahan tersebut perlu dipinda apabila ia dilihat semakin menjadi-jadi.

Berdasarkan kepada laporan berita yang dipaparkan di media cetak, media elektronik dan laman-laman sosial, kemalangan akibat tindakan pemandu mabuk amat membimbangkan.

Ditambah pula dengan kes-kes yang tidak dilaporkan mungkin atas sebab-sebab tertentu, jumlah kemalangan akibat pemandu mabuk mungkin lebih tinggi.

Namun, semua sedia maklum hukuman ke atas individu yang bertanggungjawab dalam insiden melibatkan pemandu mabuk ini terlalu ringan hingga membuatkan si pelaku tidak berasa serik atas perbuatan masing-masing.

Atau dalam bahasa mudahnya, hukuman sedia tidak menakutkan atau menghadirkan gerun kepada kaki mabuk.

Mengikut laporan media, kebanyakan kes melibatkan pemandu mabuk ini adalah berpunca daripada sikap peminum itu sendiri yang tidak menghiraukan undang-undang.

Mereka tidak peduli tindakan itu sebenarnya membahayakan diri dan juga orang lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan bercakap pun seorang pemabuk boleh hilang pertimbangan, bayangkanlah bagaimana keadaan memandu dalam keadaan mabuk.

Pemandu yang mabuk secara umumnya keadaan akalnya pasti terganggu akibat pengaruh minuman keras hingga mengakibatkan tahap kesedaran diri yang terjejas.

Keadaan berkenaan sudah pasti menyebabkan seseorang itu bertindak di luar batas kawalan dirinya sendiri.

Tidak mustahil mereka yang mabuk ini akan memandu dengan laju, tidak menghormati pemandu lain, melanggar lampu isyarat dan yang paling membimbangkan melanggar mana-mana kenderaan yang berada di atas jalan raya.

Maka tidak hairanlah apabila berlaku kes-kes sebelum ini pemandu mabuk melanggar atau merempuh apa sahaja objek yang berada atau menghalang laluan mereka.

Sudah berapa banyak nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa pemandu mabuk.

Begitu juga anak-anak yang menjadi yatim piatu akibat ibu bapa mereka menjadi mangsa dilanggar pemandu tersebut.

Oleh itu, semua pihak tidak kira agama, warna kulit atau pun parti politik perlu bersama-sama untuk melihat isu ini dengan lebih serius.

Janganlah sampai kaum keluarga kita pula yang menjadi mangsa baru hendak bertindak.

Gunakanlah keupayaan yang ada untuk bersama menangani isu ini dengan lebih bersepadu.

Pastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut.

Mungkin hukuman penjara maksimum boleh dikenakan kepada pemandu mabuk ini supaya pemandu lain mengambil iktibar daripada kesalahan berkenaan.

Selain disyorkan hukuman sebat, tindakan menggantung lesen seumur hidup juga boleh dikenakan sebagai pengajaran paling besar buat pelaku.

Kesimpulannya, segeralah bertindak supaya hukuman yang setimpal dapat dikenakan kepada pemandu mabuk ini.

Ramai bimbang jika dibiarkan tanpa penyelesaian segera, banyak lagi nyawa yang akan melayang disebabkan kecuaian orang lain.

* Shahrizal Ahmad Zaini ialah Wartawan Sinar Harian Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!