Fenomena awan jatuh dari langit
JAKARTA - Rakaman fenomena objek putih terapung jatuh dari langit seperti awan kinton dalam siri anime Dragon Ball menjadi tular di media sosial.
Klip berdurasi lebih 60 saat tersebut jelas memaparkan 'awan putih' tersebut turun secara perlahan-lahan ke permukaan tanah di Kabupaten Murung Raya, Kalimantan Tengah di Indonesia pada Jumaat lalu.
Ia mengundang pelbagai reaksi warganet yang menggelarnya sebagai fenomena awan jatuh.
Bagi meredakan persoalan orang ramai, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) tampil merungkai misteri fenomena tersebut yang ditemui beberapa pekerja di Muara Tuhup.
"Ia bukanlah awan semula jadi sebaliknya terhasil daripada kondensasi wap air atau gas berpunca daripada aktiviti manusia di kawasan tersebut," ujar Pengarah Meteorologi Publik BMKG, Andri Ramdhani pada akhir minggu lalu.
Menurutnya, awan sebenar tidak akan jatuh dalam bentuk gumpalan padat kerana zarahnya sangat ringan selain mempunyai kepadatan yang rendah.
"Awan merupakan titisan air atau hablur ais yang sangat kecil dan ringan. Ia akan kekal terapung di atmosfera dengan bantuan arus udara. Zarah awan biasanya menyejat sebelum mencecah tanah terutama apabila berlaku perubahan lingkungan," jelasnya.
BMKG turut memberi jaminan fenomena tersebut tidak berbahaya dan hanya sementara.
"Komuniti sekitar tidak perlu bimbang kerana ia bukanlah tanda-tanda gangguan alam," katanya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!