Sukatan pelajaran, kad pengenalan generasi baharu tumpuan Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR - Isu sukatan pelajaran dan status terkini berkaitan kad pengenalan generasi baharu antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen Malaysia, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) akan bertanyakan kepada Menteri Pendidikan mengenai sukatan pelajaran baharu yang akan diguna pakai menjelang 2027 serta rancangan kementerian untuk meningkatkan tahap pencapaian pelajar dari sudut literasi dan numerasi.
Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung status terkini berkaitan dengan kad pengenalan generasi baharu yang bakal diperkenalkan oleh pihak kerajaan bagi menggantikan kad pengenalan diri sedia ada dengan tujuan mengatasi isu pemalsuan kad identiti kewarganegaraan.
Pada sesi sama, Chiew Choon Man (PH-Miri) akan mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Kewangan sama ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat memperkasakan program i-Lindung melalui subsidi dan rundingan bersama syarikat insurans agar perlindungan perubatan dapat ditawarkan hingga umur 99 tahun pada kadar yang berpatutan.
Usai sesi soal jawab lisan itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh menteri daripada setiap kementerian terlibat.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!