Kumpul ratusan koleksi milik Allahyarham Sudirman
BERA - Minat dan rasa kagum terhadap penghibur kelahiran Temerloh, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad menyebabkan seorang penjawat awam di sini mengumpul ratusan koleksi milik penyanyi terkenal tersebut.
Ramlan Md Isa, 40 berkata, minatnya terhadap Penghibur Nombor 1 Asia itu bermula sejak di zaman sekolah dengan mengumpul keratan akhbar dan majalah selain merakam lagu-lagu di radio menggunakan kaset.
Menurutnya, minat terhadap Allahyarham Sudirman kerana kagum dengan pelbagai bakat serta gelaran usahawan berjaya selain salah seorang artis di Malaysia yang berpendidikan tinggi.
"Saya mula minat Allahyarham menerusi hasil lukisan kartun yang terpapar di sebuah majalah hiburan ketika itu.
"Dari situ saya mula mengumpul dari keratan majalah kerana itu saja mampu buat dan hanya selepas bekerja baru la saya mencari dan mengumpul pelbagai koleksi lain seperti album; kaset; piring hitam; poster dan barang dagangan di bawah jenama Sudir Shoppe seperti minuman Sudi; bedak; syampu; topi; spek pelindung (shade) serta seluar jeans," katanya di sini ketika ditemui di kediamannya di Triang, di sini baru-baru ini.
Ujar anak kelahiran Felda Sebertak di sini, seluar jeans diperoleh dengan harga RM200 dari seorang bekas wakil jualan Sudir Shoppe di gudang di Sabah dalam keadaan New Old Stock (NOS) lengkap tanda harga lebih RM80 pada 2022.
"Tapi bagi saya, koleksi yang memiliki nilai sentimental ialah jaket sebagai peserta ketika Allahyarham bertanding di Asian Popular Music Award di Albert Hall, London pada 1989 yang membawa kemenangan sebagai Penghibur Nombor 1 Asia dan saya peroleh menerusi bekas kakitangannya," ujarnya
Menyediakan bilik khas sebagai galeri koleksinya, anak ke-6 daripada tujuh beradik itu mendapatkan koleksi tersebut antaranya menerusi rakan-rakan Allahyarham sendiri serta di pasaran.
"Saya juga memasuki kumpulan barangan antik dan dari situ saya boleh dapat koleksi yang dicari selain di pasar karat.
"Setakat ini, saya tidak akan menjual koleksi yang ada dan merancang untuk membuka galeri sendiri sebagai rujukan dan tatapan generasi akan datang," tambahnya koleksinya bernilai kira-kira RM20,000 mengikut nilai pasaran.
Dalam pada itu, Ramlan juga menjadi pentadbir Kelab Peminat Sudirman yang ditubuhkan pada 2011 dan memiliki lebih 40 ahli dari seluruh termasuk dari Singapura dan Brunei.
Jelasnya, mereka juga kerap berjumpa terutamanya ketika majlis tahlil Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 22 Februari 1992.
"Kami berhasrat dan sangat berharap kerajaan ada inisiatif dapat mewujudkan sebuah galeri atau memorial khas buat Penghibur Nombor 1 Asia itu sebagai mengenang jasa Allahyarham yang memartabatkan industri seni muzik negara hingga ke peringkat antarabangsa.
"Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee ada memorial dan galeri dan harapan kami supaya sekurang-kurangnya rumah di Kampung Tok Embun, di Mentakab dibangunkan semula dan dijadikan memorial atau pustaka peringatan Sudirman," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!