'Duduk satu platform perangi rasuah'
SEREMBAN - Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar) mengajak semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan belia di seluruh negara bergerak bersama dalam memerangi rasuah.
Presiden PAKAR, Mohd Nasir Ab Hadi berkata, ia sebagai usaha bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai tahap integriti tinggi dan bebas rasuah selaras dengan komitmen Kerajaan Madani dalam isu tersebut termasuk membanteras penyalahgunaan kuasa.
"Kalau kita boleh duduk satu platform semua NGO anti rasuah dan belia dapat bergerak sekali, secara tidak langsung dapat sampaikan mesej (banteras rasuah) ini kepada umum khususnya komuniti setempat.
"Kita mahu kesedaran itu sampai ke peringkat bawah, apabila dapat ilmu itu mereka tahu bahawa rasuah ini keji sehingga boleh merosakkan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Zon Selatan anjuran Pakar yang dirasmikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail di Sekolah Dato' Abdul Razak di sini pada Selasa.
Turut berlangsung, forum bertajuk 'Bersatu Bersama Belia Menentang Rasuah Membentuk Integriti Masa Hadapan' yang disertai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#Rasuah Busters), Nurhayati Nordin; Penolong Pendaftaran Kanan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Mohd Firdaus Mazlan dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Johor, Penolong Pesuruhjaya Koo Lik Chi sebagai panelis.
Sementara itu, Nurhayati berkata, program anjuran Pakar itu bertepatan dengan tema HARA pada tahun ini yang mana golongan belia juga memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah negara bebas rasuah dengan penuh integriti.
"Sebagai pencorak masa depan negara kita kena mula mengenal segala simptom-simptom (rasuah) yang kemungkinan berlaku dan disekat kerana pencegahan itu adalah lebih baik daripada mengubati," katanya.
Peserta program, Nurul Iman Anuar, 20, dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik Kompleks Pendidikan Nilai pula berkata, memperoleh banyak ilmu mengenai rasuah yang sehingga kini masih menjadi barah dalam kalangan rakyat di negara ini.
"Rupanya ada pelbagai cara ditawarkan yang membawa maksud kepada rasuah. Justeru sebagai golongan muda perkara ini perlu diambil perhatian supaya tidak memakan diri," katanya.
Seorang lagi peserta dari institut sama, Damira Nur Qistina Zahari, 21, berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Golongan belia dapat pendedahan awal mengenai rasuah dan dapat bersedia dengan berhadapan dengan dunia luar, macam mana rasuah ini serta apa yang perlu kita buat jika kita sendiri ditawarkan rasuah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!