Projek di Qatar bawa kejayaan kepada WCT
WCT Berhad (WCT) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Antarabangsa sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024, susulan kejayaan dalam melaksanakan Projek Pembangunan Lusail di Doha, Qatar.
Pengarah Urusan Kejuruteraan dan Pembangunan WCT Berhad, Ir Anthony Teoh Teik Thiam berkata, ia melibatkan infrastruktur dan kerja awam untuk Commercial Boulevard yang terletak di dalam Bandar Lusail.
“Kawasan bandar berkeluasan 38 kilometer (km) persegi yang dirancang dengan teliti ini merangkumi kawasan kediaman, hiburan dan komersial termasuk Stadium Lusail yang terkenal menjadi lokasi tuan rumah untuk Piala Dunia FIFA 2022.
“Skop projek WCT merangkumi pembinaan jalan raya, parkir kereta bawah tanah serta struktur untuk empat stesen Transit Aliran Ringan (LRT) termasuk stesen Earthlink dan kereta kabel.
“Pada masa sama, WCT turut bertanggungjawab dalam struktur dan Mechanical, Electrical and Building (MEB) untuk stesen bawah tanah,” katanya ketika sidang akhbar (MCIEA) 2024 pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anthony memaklumkan, usaha untuk memastikan kecekapan dalam reka bentuk dan pembinaan, WCT mengaplikasikan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam projek tersebut.
Ujarnya, teknologi berkenaan membolehkan reka bentuk yang lebih efisien dengan pengurangan kos dan masa sekali gus meningkatkan kesejahteraan keseluruhan projek.
Tambah beliau, projek Lusail berjalan sepanjang tempoh mencabar iaitu ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan penutupan sempadan udara dan laut di Qatar pada 2020.
“Walaupun menghadapi pelbagai kesulitan termasuk sekatan pergerakan antarabangsa, projek ini berjaya diselesaikan mengikut jadual dan mencapai standard yang ditetapkan.
“Saya sangat berbangga dengan pencapaian ini, yang merupakan hasil kerja keras dan kerjasama luar biasa daripada semua pihak terlibat. Terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atas sokongan serta pengiktirafan tersebut,” katanya.
Pada masa sama, Anthony turut merakamkan penghargaan kepada Al-Ali Project Co dan syarikat pembangunan Lusail Real Estate Development Company serta pelanggan lain yang memberi kepercayaan kepada syarikatnya untuk menguruskan projek.
Menurutnya, WCT juga akan meneruskan komitmen untuk terus berkembang di pasaran Asia Barat seperti Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus memperluaskan peluang projek baharu di Malaysia.
“Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan WCT yang bekerja dengan penuh dedikasi. Kerja keras dan semangat anda menjadi kunci kejayaan projek ini.
“Menerusi pencapaian ini, kita akan terus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penggiat utama dalam industri pembinaan di dalam dan luar negara,” ujarnya.
Bangunan 43 tingkat binaan tertinggi IJM Construction
PROJEK Menara Affin di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang mempunyai 43 tingkat merupakan menara institusi kewangan tertinggi yang pernah dibina oleh IJM Construction Sdn Bhd (IJM Construction) sehingga membawa kejayaan kepada syarikat berkenaan sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik (Bangunan) Besar sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Heng Wai berkata, binaan Gred A itu turut menjadi penanda aras pembangunan hijau di Malaysia apabila berjaya mendapat sijil Green Building Index (GBI) dan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED).
“Kejayaan Menara Affin adalah pencapaian bersama yang wujud melalui usaha kolaboratif semua pihak terlibat. Kami gembira kerana Affin Bank memberi kepercayaan dalam pembinaan menara pejabat mereka kepada syarikat pembinaan tempatan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami, Affin Bank atas kepercayaan mereka terhadap IJM dan penglibatan mereka yang proaktif sepanjang projek ini,” katanya ketika sidang akhbar (MCIEA) 2024 pada Isnin.
Menurutnya lagi, Menara Affin yang terletak di kawasan kewangan utama negara iaitu Tun Razak Exchange (TRX) menambahkan suasana bertaraf dunia dan membangunkan lokasi tersebut sebagai tumpuan utama.
Tambah beliau, pihaknya memanfaatkan Building Information Modelling (BIM) untuk memastikan rekaan yang direka menepati kehendak dan cita rasa pelanggan.
“Apabila rekaan selesai, kami hantar model 5D kepada pelanggan untuk langkah seterusnya bagi pengurusan fasiliti. Pada masa sama, fokus terhadap kesihatan dan keselamatan serta persekitaran juga menunjukkan komitmen kami untuk menghasilkan projek dengan efisien dan mencapai standard tertinggi.
“Kejayaan pembinaan Menara Affin adalah pencapaian bersama yang wujud melalui usaha kolaboratif semua pihak terlibat. Terima kasih kepada CIDB atas pemberian Anugerah Projek Terbaik (Bangunan: Kategori Besar) ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!