Masalah dadah sukar dibendung kerana trend sintetik - KDN
KUALA LUMPUR - Perubahan trend daripada dadah jenis organik kepada sintetik atau Amphetamine Type Stimulants (ATS) menjadi antara punca usaha menangani pengambilan bahan terlarang itu sukar dilaksanakan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkembangan tersebut memberi cabaran besar khususnya kepada pihak berkuasa.
“Statistik menunjukkan penyalahgunaan dadah ATS ini adalah seramai 115,410 iaitu 70.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan jenis dadah (yang diambil).
“Sehingga September 2024, penyalahgunaan dadah jenis ganja hanya sekitar empat peratus iaitu seramai 6,750 orang sahaja,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai punca yang menyebabkan kes dadah sukar untuk dibendung, meskipun pelbagai usaha telah diambil sejak sekian lama.
Tambah Shamsul Anuar, penglibatan semua pihak turut menjadi antara faktor penting untuk membendung gejala sosial itu daripada terus membarah khususnya melibatkan golongan muda.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin baru-baru ini mendedahkan, bilangan penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2023 meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 24,186 orang berbanding 23,517 individu pada tahun 2022.
Ujarnya, komposisi penagih dadah mengikut jantina mengekalkan peratusan sama iaitu 95.7 peratus bagi lelaki dan selebihnya adalah perempuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!