Sunway Construction terima Anugerah Projek Terbaik
Sunway Construction Sdn Bhd (Sunway Construction) dipilih sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik (Bangunan - Kategori Besar) bagi projek Parcel F, Persint 1, Putrajaya sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 yang berlangsung pada Isnin.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction Sdn Bhd, Richard Wong Kwan Song berkata, walaupun projek tersebut masih dalam proses pembinaan, namun setiap perancangan berjalan lancar.
“Projek ini dijangka memasuki tempoh pemantauan pasca pembinaan dalam dua bulan lagi, kami bertanggungjawab untuk memantau selama 20 tahun di mana Sunway Construction terlibat untuk lima tahun pertama selepas pembinaan selesai.
“Salah satu pencapaian penting projek ini adalah kejayaan Sunway Construction dalam mendapat pensijilan Green Building Index (GBI) yang untuk dua bangunan tambahan dalam projek ini iaitu Bangunan 9 dan 10.
“Kedua-dua bangunan berkenaan berjaya mendapatkan pensijilan GBI Platinum sekali gus menunjukkan komitmen syarikat kami terhadap amalan pembinaan lestari dan mesra alam,” katanya ketika sidang akhbar (MCIEA) 2024 pada Isnin.
Mengulas lanjut, Richard memaklumkan, projek pembangunan itu melibatkan kawasan seluas 30 hektar dan pada asalnya dirancang dalam empat pakej berbeza. Bagaimanapun katanya, pihak Sunway Construction mengambil langkah berani untuk menyiapkan projek tersebut dalam satu pakej besar.
“Keputusan ini membolehkan kami melaksanakan penyelesaian inovatif dalam pengurusan projek dan logistik, termasuk mempermudah proses pengurusan serta memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
“Jika projek ini dilaksanakan dalam empat pakej berasingan, pasti akan timbul banyak cabaran dalam pengurusan logistik dan penyelesaian,” katanya.
Pada masa sama, Richard merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan sepanjang projek itu dijalankan terutamanya syarikat Putrajaya Bina Sdn Bhd.
Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kerana memberikan penghargaan kepada Sunway Construction dan mengiktiraf pencapaian syarikat tersebut dalam industri pembinaan negara.
“Kami akan terus berusaha untuk melakukan lebih banyak perkara seperti ini dan sentiasa memastikan kualiti dan inovasi dalam setiap projek yang kami laksanakan.
“Sunway Construction bakal meneruskan komitmen untuk terus maju dalam industri pembinaan di Malaysia dan luar negara,” ujarnya.
KVMRT hasil titik peluh lebih 50,000 tenaga kerja.
Kejayaan Projek Klang Valley Mass Rapid Transit (KVMRT): Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya merupakan hasil titik peluh lebih 50,000 individu yang terlibat dalam menyiapkan projek itu.
Pengarah Projek MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, Adil Putra Ahmad berkata, fasa pertama telah siap pada Jun 2022, manakala fasa terakhir melibatkan keseluruhan projek adalah pada pada Mac 2023.
“Saya gembira dan berbesar hati dengan Anugerah Projek Terbaik (Infrastruktur- Kategori Besar). Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 kerana memberi penghormatan kepada kami melalui anugerah tersebut.
“Dalam merealisasikan projek ini, kami mendapat kerjasama yang sangat baik daripada semua pihak. Bukan hanya pasukan kami, tetapi juga kerjasama rapat dengan pemilik projek iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).
“Ia termasuk semua kontraktor terlibat dan pihak berkepentingan serta agensi yang turut menyokong dalam memastikan kejayaan projek ini dicapai pada waktu ditetapkan,” katanya ketika sidang akhbar (MCIEA) 2024 pada Isnin.
Mengulas lanjut, Adil Putra memaklumkan, pihaknya berjaya menggabungkan inovasi teknikal sepanjang tempoh menyiapkan projek berkenaan, walaupun menghadapi pelbagai rintangan akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun ujarnya, dengan kerjasama rapat daripada semua pihak termasuk kontraktor dan industri, segala masalah tersebut dapat diselesaikan seperti yang dirancang tanpa menghadapi sebarang kelewatan.
“Pada masa hadapan, kami akan terus berusaha untuk terus berada di barisan hadapan dalam industri pembinaan seperti yang telah kami lakukan dan membawa inovasi serta kecemerlangan ke dalam industri dalam negara.
“Ini termasuk dengan harapan untuk terus menjadi sebahagian daripada pemimpin yang memacu industri pembinaan ke hadapan. Dengan itu, sekali lagi, saya menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada CIDB dan MCIEA kerana memberi penghormatan kepada kami dengan anugerah ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, projek pembinaan MRT Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Laluan 2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang dibuka sejak Mac 2023 itu telah beroperasi dengan sangat baik.
Menurutnya, purata jumlah penumpang setiap hari adalah sekitar 150,000 orang dan merupakan pencapaian luar biasa memandangkan ia baru sahaja dibuka kurang daripada setahun.
“Untuk menjadikan projek ini berjaya dan dibuka hampir tepat pada masanya iaitu Mac 2023, penghargaan diberikan kepada banyak pihak dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kontraktor yang bekerja tanpa mengenal penat lelah walaupun ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
“Kami juga mempunyai ramai subkontraktor dan kontraktor yang bekerja keras untuk merealisasikan projek ini, kebanyakan daripada mereka yang saya tidak dapat sebutkan satu per satu.
“Alhamdulillah, walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kami berjaya membuka projek ini tepat pada saya ingin mengucapkan terima kasih kepada CIDB atas pengiktirafan ini. Sebenarnya ia bukan hanya hasil usaha staf MRT tetapi juga semua pihak terlibat termasuk industri,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!