Kartel tuntutan palsu PERKESO: Lima pegawai KKM dipindah tempat kerja

Dr Dzulkefly pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Rabu. Foto Bernama
Dr Dzulkefly pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Rabu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Lima pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa terlibat dalam skandal kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pulau Pinang, dipindahkan ke hospital lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu dibuat sementara menunggu hasil siasatan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Berhubung dengan tangkapan yang dibuat oleh SPRM berkaitan dakwaan bahawa pegawai Kementerian Kesihatan terlibat dalam skandal kartel memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO di Pulau Pinang, kelima-lima pegawai tersebut telah diambil tindakan tahan kerja di bawah peruntukan Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkuat kuasa17 September 2024.

"Tempoh tahan kerja adalah selama 30 hari bagi memudah cara urusan siasatan dan telah berakhir pada 16 Oktober lalu.

"Pada masa ini, pegawai yang terlibat telah kembali bertugas namun dipindahkan ke hospital lain sementara menunggu hasil siasatan dan pertuduhan oleh SPRM," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan diambil terhadap pegawai terbabit dan rombakan ke atas sistem pengurusan sekarang serta sama ada Jabatan Ortopedik berkenaan masih berfungsi.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan, skop fungsi dan pengoperasian jabatan ortopedik di hospital terbabit diteruskan seperti biasa.

"Ia bagi menyampaikan perkhidmatan kepakaran ortopedik kepada pesakit dengan dibantu pegawai dari hospital berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, SPRM menahan seramai 37 individu termasuk enam doktor menerusi Op Tunjang selepas dipercayai terlibat dalam sindiket tuntutan palsu kepada PERKESO.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!