[VIDEO] Farid Kamil, Diana Danielle masih suami isteri - Peguam

A
A
A

PEGUAM syarie mewakili pelakon Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memberitahu mahkamah telah mengesahkan Farid Kamil dan Diana Danielle masih berstatus suami isteri selepas rujuk pada 31 Ogos 2023.

Ujarnya, Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin mengarahkan kedua-dua pihak untuk mendapatkan perakuan sijil rujuk untuk melengkapkan dokumen bagi prosiding perceraian pada 2 Disember depan.

"Sebentar tadi mahkamah telah mendengar permohonan rujuk dan berpuas hati dengan permohonan tersebut. Rujuk telah berlaku dan mahkamah telah mengesahkan status mereka masih suami isteri. Jadi selepas ini kita akan teruskan permohonan cerai," katanya.

Akberdin berkata demikian Ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ditanya proses selepas ini, Akberdin berkata, sekiranya pihak defendan bersetuju untuk bercerai, maka Farid dan Diana tidak perlu melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Diana ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu. Akberdin Abdul Kadir (kanan).
Diana ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu. Akberdin Abdul Kadir (kanan).

"Selepas ini kita akan teruskan permohon kedua iaitu penceraian mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Apa pendirian defendan akan dimaklumkan pada hakim dalam prosiding akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 34, yang ditemui sebaik selesai prosiding enggan mengulas lanjut dan hanya sesekali bergurau dengan rakan media.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukan gembira tetapi sebab kenal rakan media. Semua macam kawan-kawan jadi kita senyum-senyumlah.

"Ini bukan momen gembira untuk sesiapa sahaja, jangan salah faham," katanya yang terus beredar pulang.

Farid bersama peguamnya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu.
Farid bersama peguamnya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Terdahulu, Diana menfailkan penceraian buat kali kedua pada 4 November lalu selepas mendakwa wujud pergaduhan berpanjangan atau ‘shiqaq’ yang tidak boleh diperbaiki.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka rujuk semula sebulan kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!