Tiga saudara jual hasil tanaman lima tan sehari

Khairul Faiez (berdiri, kiri), Hayadi Anuar (duduk, kanan) dan Shahizul (duduk, kiri) bersama Mohammed Akhiar (tengah) menunjukkan peria yang ditanam di ladangnya di Kampung Lasah di sini.
Khairul Faiez (berdiri, kiri), Hayadi Anuar (duduk, kanan) dan Shahizul (duduk, kiri) bersama Mohammed Akhiar (tengah) menunjukkan peria yang ditanam di ladangnya di Kampung Lasah di sini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Impian tiga bersaudara menceburi dalam bidang pertanian mula menampakkan hasil apabila jualan hasil tanaman mereka kian berkembang mencecah lima tan sehari.

Khairul Faiez Ahmad Sani, 33, Shahizul Ahmad, 37, dan Hayadi Anuar Ahmad Sani, 41, berjaya membuktikan bahawa anak muda tempatan mampu bersaing dalam bidang berkenaan jika diberikan peluang.

Bagi Khairul Faiez, biarpun ada pihak yang skeptikal terhadap kemampuan orang muda dalam bidang pertanian, namun sebenarnya mereka mampu pergi lebih jauh.

Timun antara hasil tanaman paling tinggi dikeluarkan oleh Sepakat Niaga Sdn Bhd menerusi ladang di Kampung Lasah.
Timun antara hasil tanaman paling tinggi dikeluarkan oleh Sepakat Niaga Sdn Bhd menerusi ladang di Kampung Lasah.

Menurutnya, bermula seawal tahun 2011 secara kecil-kecilan, mereka kini bukan sahaja menanam tetapi turut menjadi peraih sayur-sayuran untuk dipasarkan di luar Perak.

"Alhamdulillah, sejak lebih 20 tahun menceburi bidang pertanian ini, kami berjaya buktikan kemampuan daripada menanam sehinggalah memasarkan sendiri hasil tanaman.

"Kami pasarkan sayur-sayuran ini ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bergantung kepada permintaan.

"Setiap hari kira-kira empat hingga lima tan metrik sayur kita hantar kepada pelanggan tidak termasuk untuk pasaran tempatan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di ladangnya di Kampung Lasah di sini, baru-baru ini.

Khairul Faiez berkata, purata sebulan bekalan sayur yang diperlukan untuk memenuhi permintaan pasaran melebihi 100 tan metrik.

Artikel Berkaitan:

"Mempunyai ladang sendiri di Sungai Siput seluas 1.2 hektar berjaya mengeluarkan hasil tanaman timun 50 tan diikuti lebih sembilan tan peria besar.

"Namun jumlah itu belum cukup untuk memenuhi permintaan pasaran kerana bukan sahaja untuk pasar-pasar awam tetapi pasar raya besar terkemuka," katanya.

Disebabkan itu katanya, mereka menerusi syarikat Sepakat Niaga Sdn Bhd menjadi peraih dengan membeli hasil-hasil tanaman daripada pelbagai pihak untuk memastikan bekalan dapat dipenuhi.

No Image Caption

Sementara itu, Hayadi Anuar pula menyifatkan kejayaan mereka itu hasil usaha tidak putus asa mereka bertiga untuk membuktikan bahawa usahawan bumiputera mampu pergi lebih jauh.

Menurutnya, hubungan baik yang terjalin bersama pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Felda Global Venture (FGV) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Siput turut membuka ruang mereka berkembang melalui bimbingan serta peluang diberikan.

Jelasnya, mereka kini mahu menjadi contoh kepada anak muda supaya lebih ramai menceburi bidang yang mempunyai masa depan serta pulangan lebih lumayan.

Dalam pada itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Sungai Siput (U), Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan penglibatan orang muda dalam bidang pertanian.

Menurutnya, PPK Sungai Siput (U) akan terus membantu dan membimbing menerusi Peladang Muda bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang pertanian.

Jelasnya, bidang pertanian mempunyai potensi dan masa depan yang lebih cerah tambahan kerajaan ketika ini memberi tumpuan ke arah keterjaminan makanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!