Budak parah bukan kena langgar tapi jatuh sendiri, seluar tersangkut rantai basikal
SUNGAI BULOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami kecederaan parah di Jalan Stesen Kuang, di sini pada Jumaat disebabkan seluar tersangkut pada rantai basikal.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang basikal dan terjatuh sendiri apabila seluarnya tersangkut di rantai basikal.
Beliau berkata, pihaknya telah mengesan lima saksi kejadian dan keterangan telah diambil daripada mereka.
Jelasnya, dua daripada saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian nampak kanak-kanak tersebut jatuh di atas jalan dan pergi membantu mangsa.
"Keterangan saksi-saksi selari dengan pemeriksaan ke atas seluar yang dipakai mangsa semasa kejadian mendapati terdapat kesan koyak dan minyak rantai.
"Mangsa tidak dilanggar oleh kenderaan lain. Basikal mangsa juga telah diperiksa dan tiada kesan pelanggaran dengan kenderaan asing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Hafiz berkata, sehingga semalam, pihaknya dimaklumkan mangsa masih ditidurkan dan masih belum sedar.
Kata beliau, kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai runcit.
Menurutnya, kedai runcit itu terletak lebih kurang 200 meter dari kawasan sekolah di Jalan Stesen Kuang.
Tambahnya, kes masih disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi tidak tepat berkaitan kejadian ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!