Anwar selamat tiba di tanah air selepas lawatan ke empat negara

Anwar selamat tiba di tanah air pada Rabu selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lepas hingga semalam. Foto Bernama
Anwar selamat tiba di tanah air pada Rabu selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lepas hingga semalam. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air pada Rabu selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lepas sehingga semalam.

Pesawat yang membawa Anwar tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 11.40 pagi.

Ketibaan Anwar dan delegasi disambut Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan para penyokong.

Lawatan selama 11 hari ke empat negara tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.

Anwar berkata sesuatu bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika tiba di tanah air pada Rabu. Foto Bernama
Anwar berkata sesuatu bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika tiba di tanah air pada Rabu. Foto Bernama

Dalam rangka lawatan tersebut, Anwar mengetuai delegasi Malaysia antaranya ke Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.

Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri turut membawa pendirian Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin serta mengecam kekejaman Israel di persada dunia selain menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan empat negara tersebut, Anwar turut bertemu pemimpin dunia serta menyatakan komitmen Malaysia dalam memacu pertumbuhan mampan termasuk semasa menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva antara yang diundang untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 2025 sebagai Tetamu Pengerusi.

Semasa lawatan itu juga, Anwar turut menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan Peru iaitu 'Order of the Sun of Peru' atau 'El Sol del Peru'.

Pingat 'El Sol del Peru' atau 'Matahari Peru' dengan darjah Gran Cross, dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah, atau presiden pihak berkuasa awam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!