Banjir: Buat persiapan awal elak rugi

Azidra menunjukkan aras air di kedai makan isterinya ketika banjir pada 2022
Azidra menunjukkan aras air di kedai makan isterinya ketika banjir pada 2022
A
A
A

PASIR PUTEH - Pengalaman berdepan banjir besar pada 2022 menjadikan peniaga di Bandar Lama, Pasir Puteh lebih berwaspada dan membuat persiapan awal.

Peniaga yang ditemui mengakui mula bimbang dengan keadaan cuaca dan membuat persiapan bagi mengatasi kerugian.

Peniaga kantin sebuah agensi kerajaan di bandar ini, Che Asmayati Che Ibrahim, 54, berkata, dia kerugian hampir RM10,000 selepas kedai makannya itu ditenggelami air setinggi 0.3 meter dalam kejadian banjir dua tahun lalu.

Che Asmayati
Che Asmayati

Menurut Che Asmayati, banyak perkakas elektriknya termasuk peti sejuk dan peti sejuk bekunya rosak teruk serta tidak dapat dibaiki.

Che Asmayati yang dibantu suami, Azidra Talib, 53, tidak membuat persiapan khusus tetapi sudah bersedia meletakkan perkakas memasak dan peralatan perniagaan di atas rak sedia ada di kedai itu.

"Sukar juga bagi kami untuk membuat persiapan awal kerana kedai makan ini menjadi tempat memasak dan menyediakan makanan kepada sukarelawan banjir," katanya ketika ditemui di kedai makannya di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu pada Rabu.

Ujarnya, walaupun ramai yang meramalkan banjir lebih besar tahun ini namun peniaga itu berharap tidak berlaku bencana kerana terlalu penat menguruskan kerosakan dan baik pulih.

Artikel Berkaitan:

Peniaga pakaian terpakai, Ismawani Ismail, 37, juga sudah mempunyai perancangan awal mengelak sebarang kesukaran di saat akhir.

Ismawani melipat pakaian terpakai yang dijual di kedainya
Ismawani melipat pakaian terpakai yang dijual di kedainya

Tambahnya, banjir dua tahun lalu menjadi pengajaran kerana tidak menyangka air naik sehingga ke dalam kedai mengakibatkan pakaian yang dijual ditenggelami banjir.

"Saya kerugian lebih RM2,000 selain terpaksa membasuh kedai yang dipenuhi lumpur," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan menyeluruh di kawasan pedalaman Kelantan bermula Rabu (hari ini) hingga 26 November depan.

Sementara itu, peniaga air francais, Kasimahiza Mamat, 41, mengakui masih trauma dengan bencana pada 2022 kerana rumah dan tempat perniagaannya ditenggelami air.

Kasimahiza
Kasimahiza

Kasimahiza yang tinggal di tepi sungai di Kampung Baru dekat sini tidak lagi mempunyai perabot di rumah kerana bimbang ditenggelami air.

"Pengalaman dua tahun lalu mengajar kami sekeluarga supaya tidak membeli banyak kelengkapan rumah kerana tidak mampu mengemas dan berdepan kerugian," katanya.

Katanya, bencana dua tahun lalu bukan sahaja menenggelamkan barangan rumah tetapi peralatan di kedai sehingga mencecah kerugian puluhan ribu ringgit.

"Pengalaman itu cukup meletihkan kami kerana terpaksa berpindah selepas air naik hampir satu meter," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!