Program terpaksa dibatal, bukan Exco Terengganu dihalang masuk UniSZA - Penganjur
KUALA NERUS - Jawatankuasa Program Islamic Youth Leadership Program 2024 (IYLC 2024) menyatakan bahawa program yang dijadualkan untuk dirasmikan Exco Kerajaan Negeri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu.
Jawatankuasa tersebut dalam kenyataan berkata, surat permohonan maaf kepada pihak kerajaan negeri Terengganu telah diserahkan di pejabat Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Selasa.
"IYLC 2024 telah memohon maaf atas pembatalan majlis perasmian penutup yang telah dijadualkan pada 16 November bertempat di Quinara Al Safir Resort, Kuala Nerus.
"Pembatalan tersebut dilakukan atas faktor luaran yang tidak dapat dielakkan," kata kenyataan tersebut pada Rabu.
Jelasnya lagi, pihak jawatankuasa program menafikan wujud campur tangan dan desakan pihak pentadbiran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam proses tersebut.
"Penganjuran IYLC 2024 telah mendapat kelulusan daripada pihak UniSZA dan sangat bersikap fasilitatif ke atas sebarang program yang dianjurkan oleh mahasiswa sama ada di dalam kawasan kampus atau di luar kampus," menurut kenyataan itu.
Isnin lalu, Muhammad Khalil meluahkan rasa kesal setelah program yang dijadualkan untuk dirasmikan beliau di UniSZA didakwa dibatalkan kurang dari 24 jam sebelum ia diadakan.
Beliau turut mempersoalkan majlis pertemuan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa UniSZA diadakan tanpa sebarang halangan dan gangguan beberapa hari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!