Markah D: Kerajaan terbuka terima kritikan, fokus imbangi perkara utama - Rafizi
PUTRAJAYA - Kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan dan kritikan terhadap prestasi anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelbagai pihak berkepentingan mempunyai keutamaan berbeza mengenai reformasi yang diharapkan, namun kerajaan sedang mengimbangi pengurusan kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.
"Saya yakin secara keseluruhan, masyarakat akan menilai Kerajaan Perpaduan secara adil berdasarkan keutamaan kami kerana jangkaan yang berbeza datang daripada segmen masyarakat berbeza.
"Jika hanya memberi tumpuan kepada satu segmen, mungkin kita akan dapat penilaian A daripada Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), tetapi F dalam perkara lain.
"Jadi fokusnya adalah untuk mengimbangi semua perkara dan reformasi adalah sebahagian daripada pakej keseluruhan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim ke-2, di sini pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Bersih memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara ekoran wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Gabungan itu turut menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.
Dalam pada itu Rafizi menjelaskan, beberapa reformasi utama telah dimulakan, namun ia masih memerlukan tempoh tertentu untuk melaksanakannya.
Memberi contoh agenda pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, beliau memaklumkan, reformasi tersebut telah berlaku lebih setahun yang lalu mengikut garis masa tertentu.
"Seperti tumpuan terhadap reformasi ekonomi, pada bulan pertama (pentadbiran), saya masih ingat penganalisis dan media sangat kritikal kerana pada awalnya mereka mahukan kejelasan terutama dalam isu penyasaran semula subsidi dan sebagainya.
"Tetapi dengan cara yang sama, kerajaan mempertimbangkan banyak faktor dalam menyusun urutan reformasi dan apabila melihat beberapa hasil awal, pihak berkepentingan seperti pasaran, penganalisis dan masyarakat mula memberi sedikit kepercayaan kepada kerajaan.
"Jadi proses ini akan berterusan dengan cara yang sama dan ia akan membantu kami mengurus program reformasi dan mengimbangkannya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!