PADU fasa kedua dibuka selepas Kabinet lulus - Rafizi

Rafizi (tengah) bersama Meteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Chang Lih Kang (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim ke-2 yang berlangsung di Putrajaya pada Rabu.
Rafizi (tengah) bersama Meteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Chang Lih Kang (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim ke-2 yang berlangsung di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) fasa kedua hanya akan diumumkan secara terperinci selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, buat masa ini kementeriannya dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk kriteria kelayakan.

“Kita sudah ada mesyuarat minggu lepas dan rancangan mengenai garis masa (dan) pelaksanaan sedang dibincangkan. Perkara ini akan dibawa ke Kabinet dan apabila dipersetujui, barulah Kementerian Ekonomi boleh umumkan garis masa.

“Bila kerajaan buat keputusan tentang kriteria siapa yang layak, itu akan melibatkan pembukaan semula (pendaftaran) PADU fasa kedua kerana kita perlu bagi ruang kepada mereka yang belum mendaftar, untuk mendaftar,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim ke-2 di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Rafizi pada Julai lalu mengumumkan kerajaan akan membuka semula pendaftaran PADU fasa kedua bagi membolehkan mana-mana individu yang belum mendaftar dapat mengemas kini maklumat dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, perincian mengenai mekanisme penyasaran subsidi bagi orang awam yang tidak mendaftar PADU akan diumum setelah dimuktamadkan.

“Semasa awal tahun ini, pendaftaran PADU tidak berkait dengan apa-apa program kerajaan, hanya untuk daftar, maka motivasi orang awam agak rendah kerana mereka mahu tunggu dan lihat.

“Apabila perincian diumumkan, mereka yang belum daftar sudah tentu mahu mendaftar kerana pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 berkait dengan data PADU dan mereka ada risiko keciciran.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu keputusan (buka pendaftaran PADU) perlu mendapat kelulusan Kabinet, kemudian boleh umum bila buka semula dan sebagainya," ujarnya.

Sementara itu mengenai pengkelasan golongan T15, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, lebih ramai individu bakal mendaftar dalam sistem berkenaan setelah kriteria kelayakan diumumkan kelak.

Ini kerana beliau berpandangan, kebanyakan individu berpendapatan tinggi enggan mendaftar PADU ketika fasa pertama yang berlangsung pada Januari hingga Mac lalu kerana merasakan tidak layak mendapat subsidi.

"Jadi memang majoriti yang mendaftar (PADU) adalah keluarga berpendapatan rendah.

“Kalau dulu anggapan M40 ke atas tak dapat (subsidi), sekarang ini gambaran yang kerajaan berikan adalah T15 ke atas dan bila kriteria diumumkan, saya rasa akan lebih ramai individu mendaftar kerana tahu akan dapat subsidi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!