'Taktik lapuk menyamar pelanggan'
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menyamar pelanggan selain cuba melarikan diri antara taktik lapuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika serbuan pihak berkuasa di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini pada Rabu.
Ops Belanja KL Strike Force kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur susulan aduan awam mengenai kebanjiran PATI yang bekerja di deretan premis kedai di pusat beli-belah berkenaan.
Operasi dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu mengesan pelbagai taktik warga asing bagi mengelakkan ditahan.
Antaranya, ada yang berpura-pura sebagai pelanggan konon hendak membeli alatan gajet.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah terbabit bertindak melarikan diri serta cuba bersembunyi, namun tindakan itu berjaya digagalkan pasukan operasi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, 32 warga asing berusia 23 hingga 46 tahun ditahan hasil pemeriksaan 39 individu.
“Kesemua yang ditahan merupakan lelaki warga Bangladesh (11 orang), Pakistan (18 orang), dan India (tiga orang).
"Mereka yang ditahan disyaki tidak mempunyai permit, permit tamat tempoh dan tidak mematuhi syarat-syarat permit untuk tinggal di negara ini," katanya kepada pemberita selepas serbuan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, JIM turut menyiasat syarikat yang menawarkan kerja dan perlindungan kepada PATI.
Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!