LKIM sasar 100 tekong baru ceburi laut dalam tahun depan
KUALA SELANGOR - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan seramai 100 tekong tempatan dapat dilahirkan terutama belia di negara ini sekali gus mengelakkan sektor itu dimonopoli pekerja warga asing.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tekong muda ini diharap dapat membantu menangani isu kekurangan tekong warga tempatan khususnya bagi bot nelayan laut dalam.
Menurut beliau, antara punca utama belia kurang berminat dalam sektor itu kerana masa pekerjaan itu yang tidak menentu.
"Mereka yang menjadi tekong ini biasanya mengambil masa empat ke lima hari, malah bagi tekong bot C2 pula mungkin sehingga dua minggu berada di laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Kenegaraan Madani di Auditorium Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Kuala Selangor di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan kebimbangan berikutan negara berdepan kekurangan tekong tempatan berpengalaman yang ketara untuk kapal nelayan tempatan, terutama bagi perikanan laut dalam.
Muhammad Faiz berkata, dalam usaha menangani isu kekurangan tekong nelayan, pihaknya sedang mengadakan kolaborasi dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi menyediakan kursus bersesuaian kepada belia untuk menceburi sektor berkenaan.
Beliau memberitahu, pada masa ini terdapat dua pusat latihan disediakan DOF iaitu di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizuddin Shah, Setiawan, Perak dan Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, Terengganu.
"Tugas LKIM adalah untuk menguruskan soal kebajikan nelayan dan taraf sosial kehidupan golongan ini.
"Kita juga menjalin kerjasama erat dengan kumpulan belia nelayan dan menggalakkan mereka menyertai pusat latihan disediakan DOF," tambah beliau.
Mengulas mengenai program itu, Muhammad Faiz berkata, golongan guru diharap menjadi penggerak bagi membentuk pemikiran anak-anak tentang kenegaraan.
Ujar beliau, pembangunan sesebuah negara perlu digerakkan oleh rakyatnya sendiri dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak.
"Ini bukan soal politik, tetapi bagaimana kita hendak membina negara yang lebih cemerlang untuk masa depan anak-anak.
"Mereka tentunya mengharapkan masa depan yang baik, aman, harmoni dan sejahtera ini kekal serta dapat dipertahankan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!