Jangan tinggal Ayat Kursi selepas solat, sebelum tidur dan masuk rumah
SEJAK kecil, anak-anak umat Islam diajar untuk membaca dan menghafal Ayat Kursi yang dikatakan boleh menjadi pendiding bagi diri dari perkara buruk termasuk dijauhi syaitan.
Ayat Kursi merujuk kepada ayat ke-255 surah al-Baqarah dan ia juga digelar sebagai penghulu segala ayat al-Quran.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, perbuatan membaca Ayat Kursi selepas solat adalah amalan sunnah yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW.
“Pesan pada diri dan anak-anak agar tidak meninggalkan bacaan Ayat Kursi setelah selesai menunaikan solat.
“Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan An-Nasa’i dan At-Tabrani: ‘Barang siapa yang membaca Ayat Kursi setiap kali selesai daripada solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian’.
“Ia bermaksud, hanya kematian sahaja yang menghalangnya dan setelah mati, dia akan mudah ke syurga,” jelasnya dalam Facebooknya baru-baru ini.
Menurutnya, hadis ini jelas menunjukkan Rasulullah SAW mendidik para sahabatnya agar tidak meninggalkan bacaan Ayat Kursi setiap jali selesai daripada solat.
Malah katanya, Ayat Kursi turut diiktiraf Baginda sebagai salah satu ayat yang agung berdasarkan sebuah hadis:
“Wahai Abu Al-Munzir (gelaran bagi Ubai bin Ka’ab RA), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan Ayat Kursi.
Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu Al-Munzir).” (Hadis Riwayat Muslim)
Menjelaskan Ayat Kursi sebagai ayat yang paling agung, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardawi menyatakan:
“Sesungguhnya Ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnya yang memuji dan mengangungkan zat ALLAH Yang MAHA TINGGI, menyucikan-NYA serta menyifatkan-NYA dengan sifat yang layak bagi zat ALLAH.
“Al-Qardawi turut menjelaskan bahawa Ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada 10 bahagian dan kesemuanya mengandungi elemen yang mengangungkan zat ALLAH SWT.
Tambah ahli akademik itu, atas kehebatan dan keagungan yang mengesakan ALLAH ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca Ayat Kursi sebelum tidur seperti diceritakan Abu Hurairah RA dalam sebuah hadis.
“Malah rumah yang dibaca Ayat Kursi akan digeruni syaitan seperti dinukilkan dalam hadis di dalam Tafsir Ibnu Kathir:
“Sesungguhnya seorang yang membaca Ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut,” katanya.
Oleh itu katanya, berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga agar kita tidak lekang daripada membaca Ayat Kursi.
“Lazimi diri membacanya sama ada setiap kali selesai daripada solat, sebelum tidur dan setiap kali masuk ke rumah atau bacanya pada waktu pagi dan petang.
“Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan ALLAH memelihara hamba-NYA yang sentiasa mengagungkan Tuhannya,” nasihatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!