Diana Danielle harap kes perceraian selesai segera
AKTRES dan penyanyi, Diana Danielle berharap prosiding perceraian dengan suami, Farid Kamil yang bersambung pada 2 Disember depan dapat diselesaikan dengan segera.
Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, turut meluahkan rasa lega kerana urusan pengesahan lafaz rujuk juga selesai dengan lancar pada Rabu dan prosiding perceraian dapat diteruskan.
“Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar hari ini (Rabu). Selepas ini, proses perceraian pula akan diteruskan.
“Saya tidak mempunyai banyak perkara untuk dikongsi buat masa ini, tetapi saya mohon doa daripada semua agar proses perceraian dapat diselesaikan dengan segera. Saya juga mendoakan segala kebaikan untuk semua pihak yang terlibat," kongsinya menerusi Insta Story miliknya.
Terdahulu selepas prosiding, peguam syarie mewakili bintang Imaginur itu iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memberitahu mahkamah telah mengesahkan Farid Kamil dan anak guamnya masih berstatus suami isteri selepas rujuk pada 31 Ogos 2023.
Ujarnya, Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin mengarahkan kedua-dua pihak untuk mendapatkan perakuan sijil rujuk untuk melengkapkan dokumen bagi prosiding perceraian pada 2 Disember depan.
"Mahkamah telah mendengar permohonan rujuk dan berpuas hati dengan permohonan tersebut. Rujuk telah berlaku dan mahkamah telah mengesahkan status mereka masih suami isteri. Jadi selepas ini kita akan teruskan permohonan cerai," katanya.
Akberdin berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ditanya proses selepas ini, Akberdin berkata, sekiranya pihak defendan bersetuju untuk bercerai, maka Farid dan Diana tidak perlu melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
"Selepas ini kita akan teruskan permohon kedua iaitu perceraian mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Apa pendirian defendan akan dimaklumkan pada hakim dalam prosiding akan datang," ujarnya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Bagaimanapun pada 4 November lalu, Diana sekali lagi menfailkan perceraian buat kali kedua selepas mendakwa wujud pergaduhan berpanjangan atau ‘shiqaq’ yang tidak boleh diperbaiki.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!