MGB catat pertumbuhan kukuh suku ketiga FYE2024

TAN SRI IR DR LIM HOCK SAN
TAN SRI IR DR LIM HOCK SAN
A
A
A

SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB), penyedia solusi pembinaan dan pembangunan hartanah terkemuka serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, hari ini mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga yang berakhir pada 31 Disember 2024 (“Q3FYE2024”).

Keputusan ini mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangan bagi suku tersebut dan untuk tempoh terkumpul sembilan (9) bulan.

Bagi Q3FYE2024, MGB mencatat peningkatan tahun ke tahun yang memberangsangkan sebanyak 12.9 peratus, dengan pendapatan meningkat kepada RM289.2 juta berbanding RM256.1 juta pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan berkenaan disumbang terutamanya oleh segmen pembangunan hartanah, yang mencatatkan lonjakan pendapatan empat kali ganda, daripada RM29.2 juta kepada RM132.2 juta, hasil daripada kemajuan pesat dalam pembangunan projek Idaman Melur, Idaman Cahaya, Idaman Sari, serta Pangsapuri Saujana Indah.

Seiring dengan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku ini meningkat sebanyak 24.0 peratus, daripada RM17.9 juta kepada RM22.2 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) turut menunjukkan peningkatan sebanyak 29.9 peratus, daripada RM12.7 juta kepada RM16.5 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2024, segmen pembangunan hartanah mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang luar biasa, dengan peningkatan tujuh kali ganda daripada RM51.7 juta kepada RM369.3 juta.

Pencapaian itu menyumbang kepada kenaikan pendapatan keseluruhan MGB sebanyak 16.3 peratus, iaitu daripada RM666.5 juta pada tempoh yang sama tahun lalu kepada RM775.1 juta.

Seiring dengan pertumbuhan pendapatan ini, PBT meningkat sebanyak 27.6 peratus, daripada RM50.8 juta kepada RM64.8 juta, manakala PAT menunjukkan kenaikan sebanyak 26.7 peratus, daripada RM37.4 juta kepada RM47.7 juta.

Artikel Berkaitan:

Prestasi kukuh tersebut mencerminkan komitmen MGB untuk mengekalkan kecekapan operasi melalui pengurusan kawalan kos yang ketat bagi semua projek.

Dengan memfokuskan strategi ini, MGB terus memastikan pelaksanaan projek yang cemerlang, meningkatkan keuntungan, dan mengekalkan pertumbuhan mampan.

Mengulas mengenai prestasi kewangan tersebut, Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San, berkata, prestasi kewangan suku ketiga ini mengukuhkan komitmen MGB untuk mencipta nilai melalui pertumbuhan mampan.

Katanya, momentum yang konsisten dalam segmen pembangunan hartanah dan pembinaan, terutamanya melalui inisiatif perumahan mampu milik, terus menjadi keutamaan utama MGB

“Komitmen dan dedikasi kami dalam menyediakan penyelesaian perumahan mampu milik terus menjadi pemacu utama kejayaan kami.

“Kami sentiasa berinovasi, memperbaharui operasi pembinaan, serta meningkatkan produktiviti dan kualiti untuk memastikan kami kekal kompetitif dan relevan dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.

“Fokus ini membolehkan kami menyempurnakan pembinaan rumah dengan cekap sambil mengekalkan standard tinggi dan memastikan harga kekal mampu milik. Ini selaras dengan misi kami untuk menjadikan perumahan berkualiti dapat diakses oleh semua,” katanya.

Setakat 30 September 2024, kedudukan kewangan MGB kekal kukuh dengan baki tunai dan bank sebanyak RM107.2 juta serta aset bersih sesaham berjumlah RM1.00.

Setakat 31 Oktober 2024, Kumpulan memiliki kira-kira RM1.2 bilion dalam buku pesanan pembinaan dan RM0.7 bilion dalam jualan belum ditagih daripada pembangunan hartanah.

Kedua-dua faktor ini dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan apabila tahun kewangan memasuki suku terakhir 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!